Mangsa lubang pasir: ADUN Semerak hulur bantuan

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Keluarga kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang meninggal dunia dalam kejadian di Kampung Telaga Papan, Semerak, di sini menerima kunjungan dan perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Norsham Sulaiman.

Norsham berkata, kejadian itu memberi kesan mendalam kepada keluarga mangsa yang kini berdepan kesedihan serta kesempitan hidup.

- Advertisement -

Katanya, keluarga berkenaan sebelum ini juga menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hasil maklumat yang disalurkan oleh pemimpin setempat.

“Alhamdulillah, keluarga ini memang menerima bantuan bulanan JKM. Kita akan terus pantau dan pastikan bantuan yang perlu sampai kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, selain bantuan sedia ada, kerajaan negeri turut menilai keperluan tambahan termasuk bekalan air bersih bagi meringankan beban keluarga tersebut.

Beliau menyatakan, pihaknya akan segera berusaha mendapatkan kemudahan telaga tiub (bore well) serta bantuan enjin bagi memastikan bekalan air mencukupi di rumah berkenaan.

“Kita dapati antara keperluan mendesak keluarga ini ialah bekalan air bersih. Insya-Allah kita akan usahakan penyelesaian segera,” ujarnya.

Beliau berkata, perhatian juga diberikan kepada aspek kesihatan ahli keluarga termasuk penilaian status orang kurang upaya (OKU) bagi memudahkan mereka menerima bantuan lanjut.

Dalam kejadian berkenaan mangsa, Mohammad Yusof Nor Ismail dipercayai sedang bermain dan menggali pasir di hadapan rumah bersama bapa saudaranya, Mohd Yunus Nasir yang juga berusia 12 tahun.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata, kedua-dua kanak-kanak itu dipercayai terjatuh ke dalam lubang pasir sebelum berlaku hakisan yang menyebabkan mereka tertimbus di bawah bongkah konkrit.

Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum ahli keluarga menghubungi Klinik Kesihatan Cherang Ruku dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.- HARAKAHDAILY 14/5/2026

- Advertisement -