Perlis labuh unjam, perkasa perikanan, pacu agroindustri

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis terus mempergiat usaha memperkukuh sektor perikanan dan agroindustri sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri menerusi pelaksanaan Program Melabuhkan Unjam serta lawatan kerja ke FGV Chuping Agro Valley (FCAV).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan, Razali Saad berkata, program melabuhkan unjam yang dilaksanakan bersama Lembaga Kemajuan Ikan Negeri (LKIM) Perlis di perairan Perlis melibatkan pelepasan sebanyak 424 unit unjam sebagai usaha berterusan meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan.

- Advertisement -

“Program ini bertujuan memperkukuh sektor perikanan negeri dengan menyediakan habitat tiruan yang mampu menarik sumber perikanan, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan nelayan,” katanya di sini kelmarin.

Beliau turut menjalankan lawatan kerja ke FGV Chuping Agro Valley (FCAV) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rahimi Ismail bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai projek serta aktiviti pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Menurut Razali, pihak FGV telah menyampaikan taklimat berkaitan hala tuju pembangunan FCAV, termasuk perancangan strategik serta potensi pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi yang dijangka mampu menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Perlis.

“Lawatan ini turut melibatkan tinjauan ke tapak projek bagi melihat sendiri perkembangan semasa serta perancangan pelaksanaan di lapangan,” ujarnya.

Lawatan kerja berkenaan turut dihadiri Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perlis, Hafizuddin Othman, pegawai-pegawai kanan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis serta wakil-wakil jabatan dan FGV Chuping Agro Valley.

Dalam pada itu, Razali menegaskan Kerajaan Negeri Perlis kekal meneruskan fokus untuk memperkukuh sektor ekonomi berasaskan sumber dan agroindustri secara mampan melalui perancangan strategik, kerjasama antara agensi serta pelaksanaan projek berimpak tinggi.

“Inisiatif ini selari dengan aspirasi pembangunan negeri ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat, menjamin keterjaminan makanan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi Perlis secara inklusif dan berdaya tahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/12/2025

- Advertisement -