
KUALA LUMPUR: Ahli akar umbi yang cintakan penyatuan ummah berharap pimpinan tertinggi membuat keputusan terbaik demi kepentingan umat dan rakyat.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Dr Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, himpunan pada malam ini menjadi simbolik kepada suara ahli di peringkat bawahan yang mahu melihat penyatuan ummah terus diperkasakan.
“Alhamdulillah malam ini kita berhimpun di sini sebagai simbolik untuk menyatakan inilah suara daripada bawahan, ahli-ahli bawahan yang cintakan kepada penyatuan ummah,” ujarnya di hadapan Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada himpunan di hadapan Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut yang berlangsung ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) diadakan, malam ini.
Menurut beliau, himpunan itu juga bertujuan memberi isyarat kepada pimpinan tertinggi supaya membuat keputusan terbaik.
Beliau menyeru pimpinan supaya mempertimbangkan kepentingan penyatuan ummah serta mengambil kira suara rakyat di peringkat akar umbi dalam membuat sebarang keputusan.
“Fikirkanlah demi penyatuan ummah. Fikirkanlah tentang bagaimana rakyat di bawah ini.
“Janganlah buat keputusan berdasarkan kepada peribadi sahaja, fikirkan tentang bagaimana kami di bawah ini yang cintakan kepada penyatuan ummah,” terangnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pimpinan akan membuat keputusan terbaik dan memberi jaminan bahawa keputusan itu akan didukung oleh ahli di peringkat bawahan.
“Insya-Allah kita harapkan kepimpinan yang berada di atas sana akan membuat keputusan yang terbaik dan insya-Allah kita akan dukung.
“Apa yang penting ialah kita bergerak demi penyatuan ummah dan demi untuk kita menjatuhkan DAP dan juga Kerajaan Pakatan Harapan dalam pilihan raya akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2026













