Sasaran 30 peratus wanita dalam politik masih gagal dicapai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kegagalan mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam politik negara walaupun Malaysia telah merdeka hampir 70 tahun perlu diberi perhatian serius.

- Advertisement -

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berkata, punca sebenar yang menghalang penglibatan golongan itu dalam proses membuat keputusan negara perlu diteliti.

Menurut beliau, persoalan utama yang perlu dijawab ialah mengapa sasaran tersebut masih belum dicapai sedangkan Islam telah mengangkat martabat wanita serta mengiktiraf peranan mereka dalam pembangunan masyarakat sejak lebih 1,400 tahun lalu.

“Selepas hampir 70 tahun merdeka, penglibatan wanita masih tidak mencapai 30 peratus sedangkan Islam telah menyarankan perkara ini sejak 1,447 tahun yang lalu. Kita perlu fikir apakah puncanya,” katanya.

Beliau berhujah demikian ketika membahas Penyata Kesaksamaan Gender Dalam Politik Malaysia ke Arah Sasaran 30 Peratus Penglibatan Wanita di Malaysia di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, sebelum kedatangan Islam, wanita dipandang rendah dan tidak diberikan kedudukan sewajarnya dalam masyarakat, malah terdapat amalan membunuh anak perempuan pada zaman jahiliah.

Namun menurutnya, kedatangan Islam telah mengubah kedudukan wanita dengan mengangkat martabat mereka ke tahap lebih tinggi dan memberikan penghormatan yang sewajarnya.

“Apabila Islam datang, wanita diangkat ke tahap yang lebih tinggi sehingga sekiranya ada anak yang derhaka kepada ibunya, dia tidak akan mencium syurga. Islam mengangkat martabat wanita setinggi-tingginya dan memuliakan mereka,” ujarnya.

Beliau turut merujuk firman Allah SWT yang menjelaskan bahawa lelaki dan wanita beriman saling menjadi penolong antara satu sama lain dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Menurutnya, prinsip tersebut menunjukkan lelaki dan wanita mempunyai tanggungjawab bersama dalam membangunkan masyarakat dan negara mengikut kemampuan serta peranan masing-masing.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan usaha memperluaskan penglibatan wanita dalam politik dan proses membuat keputusan negara sebagai langkah yang wajar serta perlu diberikan perhatian.

Bagi mengatasi masalah tersebut, Awang mengemukakan tiga cadangan utama yang diyakini mampu meningkatkan penyertaan wanita dalam politik negara.

“Cadangan pertama ialah memperluaskan ruang dan peluang kepada wanita untuk terlibat secara langsung dalam proses politik.

“Wanita merupakan antara kelompok paling aktif dalam masyarakat menerusi pelbagai program kebajikan, pendidikan dan kemasyarakatan,” ujarnya.

Beliau turut mengakui peranan besar wanita dalam jentera pilihan raya kerana mereka sering menjadi tulang belakang kempen serta mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran ketika bertemu pengundi.

“Wanita ini kalau pergi rumah ke rumah, kena maki atau apa sekalipun, mereka tetap sabar. Itulah kehebatan yang ada pada wanita dan sebab itu mereka mampu mendidik anak-anak dengan penuh kesabaran,” katanya.

Cadangan kedua dikemukakan beliau ialah membina ekosistem politik dan institusi negara yang lebih mesra wanita.

Menurutnya, sistem sedia ada masih belum cukup menyokong penyertaan wanita, sekali gus menjadi antara faktor sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam politik masih gagal dicapai sehingga kini.

“Kalau kita benar-benar serius mahu mencapai sasaran itu, sistem yang ada juga perlu berubah kerana ia masih belum cukup mesra wanita,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa usaha memperkasakan wanita tidak boleh mengabaikan kepentingan institusi keluarga yang menjadi asas pembinaan masyarakat dan negara menurut ajaran Islam.

Katanya, dasar yang memperkasakan wanita perlu bergerak seiring dengan usaha memperkukuhkan institusi keluarga dan bukannya meletakkan kedua-duanya dalam keadaan bertembung.

“Bila eloknya institusi keluarga, eloklah negara. Institusi keluarga inilah yang menjadi asas kepada pembinaan modal insan dan wanita memainkan peranan yang sangat penting dalam perkara tersebut,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan menyediakan ekosistem sokongan lebih mesra wanita dan keluarga melalui kemudahan penjagaan anak yang berkualiti.

Juga dasar kerja lebih fleksibel serta pelbagai bentuk bantuan yang membolehkan wanita menyumbang kepada negara tanpa mengabaikan amanah keluarga.

“Memperkasakan wanita tidak seharusnya bermaksud melemahkan institusi keluarga. Kedua-duanya mesti diperkasakan secara serentak,” katanya.

Cadangan ketiga pula aju beliau, adalah dengan memperkasakan ekonomi wanita sebagai asas kepada peningkatan penglibatan mereka dalam politik.

Menurut Awang, ramai wanita masih berdepan tekanan kos sara hidup, ketidakstabilan pekerjaan, cabaran membesarkan anak serta pelbagai kesukaran ekonomi yang lain.

Katanya, terdapat juga wanita terpaksa menanggung keluarga termasuk suami yang berdepan pelbagai masalah, namun tetap menunjukkan kesabaran tinggi dalam mengharungi cabaran kehidupan.

“Pemerkasaan politik wanita mesti bermula dengan pemerkasaan ekonomi wanita,” tegasnya.

Beliau mencadangkan kerajaan memperluaskan akses kepada pendidikan, latihan kemahiran, keusahawanan, peluang pekerjaan dan bantuan ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup golongan wanita.

Tambahnya, wanita bukan sekadar berperanan mendidik anak-anak dan membina keluarga, malah turut menjadi sebahagian penting daripada pembangunan ekonomi negara.

Beliau berkata, ramai wanita kini berjaya memegang jawatan penting dalam jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta serta mempunyai kredibiliti tinggi dalam mengurus organisasi.

“Wanita mempunyai potensi dan kebolehan untuk mengurus organisasi besar termasuk syarikat multinasional jika diberikan peluang,” katanya.

Menurut beliau, apabila wanita memiliki kekuatan ekonomi dan keyakinan diri, mereka akan lebih bersedia memainkan peranan yang lebih besar dalam masyarakat termasuk dalam kepimpinan politik.

Awang turut menyatakan sokongan terhadap aspirasi meningkatkan penglibatan wanita dalam politik Malaysia.

Namun, beliau menegaskan bahawa perkara lebih penting daripada sasaran angka ialah memastikan penyertaan tersebut berlaku secara bermaruah, berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat serta negara.

Beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 195 di mana menegaskan bahawa Allah tidak mensia-siakan amalan orang yang beramal sama ada lelaki atau perempuan.

“Islam tidak membezakan lelaki dan wanita dari sudut ganjaran amal. Sebahagian kamu adalah daripada sebahagian yang lain,” katanya.

Beliau berharap kerajaan dapat memperbaiki sistem sedia ada serta memperkukuhkan ekonomi dan institusi keluarga supaya agenda pemerkasaan wanita dapat dilaksanakan secara seimbang, adil dan selaras dengan nilai agama, budaya serta keperluan masyarakat. – HARAKAHDAILY 22/6/2026

- Advertisement -