Harap PN jelas kedudukan BERSATU dalam gabungan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: SiswaPAS Nasional mengharapkan jawapan yang jelas daripada Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) mengenai kedudukan BERSATU dalam gabungan itu pada masa akan datang.

Pengerusinya, Mohamad Haziq Irfan Muhd Suhaimi berkata, pihaknya mahu mengetahui sama ada PAS akan terus bersama BERSATU dalam PN atau sebaliknya.

“Kita sebenarnya mengharapkan jawapan yang terus terang daripada MT Perikatan Nasional untuk parti gabungan Melayu pada masa akan datang.

- Advertisement -

“Sama ada kita bersama dengan BERSATU dalam Perikatan Nasional ataupun tidak. Bahkan kami mengharap lebih daripada itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada HarakahDaily, pada himpunan di hadapan Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut yang berlangsung ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) diadakan, malam ini.

Menurut beliau, SiswaPAS turut mengharapkan parti-parti Melayu lain seperti BERJASA dan PEJUANG berada dalam gabungan bersama PAS.

Jelas beliau, perkara itu kerana pihaknya sudah melihat corak dan pendekatan BERSATU sepanjang berada dalam PN.

“Kalau kita bersama dengan Perikatan Nasional dari segi jenteranya dari segi sekatan nak bawa masuk parti Melayunya dan pelbagai lagi agenda belakang tabir,” ulasnya.

Menurut Haziq, BERSATU juga dilihat tidak lagi mempunyai kekuatan seperti sebelum ini.

“Kami rasa BERSATU ini sudah tiada kuasa apabila dia tarik keahlian Ahli-ahli Parlimen yang lain.

”Hampir 60 peratus Ahli Parlimen yang dia tarik, jadi kuasa BERSATU itu tidak kuat mana dah,” hujah beliau.

Beliau menggesa supaya, PAS menerajui Perikatan Nasional bersama parti-parti Melayu lain.

“Lebih baik PAS menerajui Perikatan Nasional dengan parti gabungan Melayu yang lain, BERJASA, PEJUANG dan pelbagai lagi. Itu harapan yang kami nak sebenarnya,” harapnya.

Mengulas perkembangan politik semasa, beliau menyifatkan keadaan di Johor dan Negeri Sembilan sebagai mencabar berikutan ketidakpastian mengenai hala tuju kerjasama politik.

“Antara ’view’ yang kami nampak, Johor dan Negeri Sembilan sangat mencabar. Kita tidak tahu hala tuju sama ada PN atau MN, lagi-lagi di Johor.

“‘So’ apa-apa pun pendirian kita masih lagi di atas bangku PAS. Yang penting sebenarnya ialah penyatuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2026

- Advertisement -