
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden menyifatkan, kehadiran penyokong di hadapan lokasi mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN malam ini sebagai tanda solidariti terhadap gabungan itu.
Beliau berkata, kehadiran yang tidak diduga itu menunjukkan komitmen penyokong untuk melihat PN terus bergerak ke hadapan.
“Pertama sekali saya ucap terima kasih kepada semua penyokong yang hadir. Tak diduga pun kehadiran ini.
“Bukanlah himpunan pun saya rasa, ia satu kehadiran yang menunjukkan solidariti kepada PN,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada himpunan di hadapan Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut yang berlangsung ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) diadakan, malam ini.
Afnan yang juga merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia berkata, mesyuarat MT PN masih belum bermula ketika beliau berucap dan semua ahli mesyuarat sudah tiba.
“Mesyuarat masih lagi belum bermula. Untuk makluman semua, kita sedang menunggu lampu hijau untuk bermula mesyuarat.
“Semua ahli mesyuarat sudah pun sampai dan kehadiran pada malam ini saya anggap satu solidariti untuk melihat PN terus bergerak dan itulah komitmen kita semua, PAS dan semua parti anggota,” jelasnya.
Beliau menjangkakan mesyuarat yang berlangsung malam ini berjalan dalam suasana tenang.
“Insya-Allah saya jangkakan mesyuarat malam ini tenang sahaja. Kami di atas tadi pun boleh duduk semeja, boleh sembang-sembang, makan-makan dan minum-minum.
“Seperti saya sebutkan, hanya berbeza pendirian politik, tetapi hubungan manusiawi itu masih lagi ada,” ulasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak tidak membuat provokasi atau telahan berhubung mesyuarat berkenaan.
“Jadi jangan bimbang dan jangan buat apa-apa provokasi ataupun telahan. Insya-Allah saya rasa selepas mesyuarat nanti akan ada sidang media lain, mungkin oleh pimpinan tertinggi PN,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2026













