‘Rombakan kabinet atau rompakan harapan?’

Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi menyifatkan rombakan kabinet diumumkan Perdana Menteri sebagai satu langkah yang gagal membawa pembaharuan sebenar, sebaliknya hanya mengitar semula kelemahan dan kegagalan lama.

Menurut beliau, rakyat menaruh harapan tinggi terhadap perubahan selepas pengumuman kabinet baharu, namun apa yang dipersembahkan disifatkan tidak membawa sebarang nafas segar kepada pentadbiran negara.

- Advertisement -

“PMX umum kabinet baharu. Rakyat tunggu nafas segar. Yang sampai bau hapak lama. (Sedangkan) Kita dijanjikan reformasi.

“Yang muncul di depan mata ialah reforbasi rosak yang dibungkus semula, gagal yang dikilatkan dengan jawatan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura dalam satu ulasan, semalam.

Beliau juga mempersoalkan tindakan Perdana Menteri terus memegang dua jawatan paling berkuasa iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, yang menurutnya bercanggah dengan prinsip pemisahan kuasa dan tadbir urus telus.

“Soal prinsip paling asas pun sudah runtuh. PM masih pegang dua jawatan paling berkuasa iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Kononnya nak urus negara secara telus, tapi kuasa dikumpul di tangan sendiri,” katanya.

Fakhruddin turut mengkritik apa yang disifatkannya sebagai amalan nepotisme apabila anak kepada Speaker Dewan Rakyat dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

“Lebih malang, PKR yang dulu melaungkan politik nilai, hari ini dilihat makin berwajah parti anak-beranak. Ini bukan persepsi yang dibina musuh politik bahkan ini realiti yang dipamerkan sendiri oleh kerajaan.

“Reformasi sepatutnya memutuskan budaya lama. Tapi kabinet ini menghidupkan semula budaya yang dulu mereka kutuk tanpa belas,” katanya.

Selain itu, beliau mempersoalkan pengekalan beberapa menteri yang berdepan pelbagai isu dan kritikan awam, khususnya dalam kementerian pengangkutan, komunikasi dan pendidikan.

“Menteri Pengangkutan dengan isu demi isu seperti KLIA, aerotrain, autogate, blackout masih dikekalkan. Menteri Komunikasi yang lebih cekap berlakon daripada membina dasar masih dikekalkan.

“Menteri Pendidikan, ketika sekolah bergelut dengan masalah disiplin, keselamatan dan hala tuju masih dikekalkan. Kalau gagal pun masih disimpan, mesejnya jelas, dalam kabinet PMX, prestasi bukan ukuran, kesetiaan lebih utama,” katanya.

Beliau juga mengkritik pelantikan Adam Adli sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, dengan menyifatkan keputusan itu tidak selari dengan keperluan kepimpinan matang dan berwibawa dalam mengurus sistem pendidikan tinggi negara.

“Paling menyedihkan Adam Adli daripada rekod aktivisme mahasiswa yang penuh kontroversi kini dilantik pula sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Ini bukan naik taraf. Ini tikus disuruh baiki labu.

“Mahasiswa perlukan teladan kematangan, intelektual dan integriti. Bukan simbol politik jalanan yang diangkat tanpa tapisan nilai dan kewibawaan,” katanya.

Dalam masa sama, Fakhruddin menyuarakan kebimbangan terhadap pelantikan kepimpinan Kementerian Wilayah Persekutuan yang menurutnya memberi isyarat politik yang membimbangkan, khususnya kepada masyarakat Melayu bandar.

“Satu perkara yang paling membimbangkan, tetapi sengaja cuba disenyapkan. Wilayah Persekutuan. Jantung bandar. Pusat ekonomi.
Ruang hidup majoriti Melayu bandar yang semakin terhimpit.

“Apabila Hannah Yeoh dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, dan timbalannya juga daripada kaum yang sama, persoalan besar mula timbul..ini bukan soal individu, tetapi mesej politik.

“Adakah ini mesej halus bahawa suara dan kebimbangan Melayu bandar tidak lagi relevan? Adakah ini petanda bahawa isu perumahan mampu milik Melayu, penjaja kecil Melayu, belia Melayu bandar yang terhimpit kos sara hidup bahkan akan terus berada di pinggir radar?

“Wilayah Persekutuan bukan sekadar pentadbiran. Ia adalah medan paling sensitif hubungan kaum di negara ini. Apabila representasi tidak seimbang, walaupun atas nama kompetensi yang terhakis bukan hanya kepercayaan orang Melayu, tetapi rasa kebersamaan dalam sebuah negara majmuk.

“Kerajaan yang benar-benar reformis akan menenangkan keresahan, bukan menambah jurang. Namun kabinet ini seolah-olah berkata jangan risau, ini bukan soal kaum. Sedangkan realitinya, rakyat di bawah sedang mula risau.

“Bila Melayu bandar rasa terpinggir, bila jurang persepsi makin melebar dan bila isu ini langsung tidak dijawab secara jujur itulah bibit awal retaknya perpaduan nasional. Akhirnya, rakyat perlu bertanya dengan jujur kabinet ini nak baiki negara atau nak hancurkan negara secara perlahan?” katanya.

Mengulas keseluruhan rombakan kabinet, beliau menyifatkan bukan sebagai langkah berani ke arah reformasi, sebaliknya satu penyusunan semula kegagalan yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada perpaduan dan keyakinan rakyat.

“Apabila kegagalan diraikan, nepotisme dinormalkan dan reformasi hanya tinggal slogan kempen yang runtuh bukan sekadar kabinet tetapi harapan rakyat kepada masa depan negara.

“Ini bukan rombakan berani. Ini penyusunan semula kegagalan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/12/2025

- Advertisement -