Kabinet ‘balas budi’, pinggir aspirasi Melayu-Islam

Ustaz Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) kelmarin disifatkan sebagai ‘kabinet balas budi’ yang gagal meredakan keresahan rakyat, sebaliknya menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai hala tuju negara.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, barisan kabinet baharu ini dilihat tidak mencerminkan kehendak dan aspirasi Melayu-Islam khususnya membabitkan jawatan strategik berkaitan agama, pendidikan, kebudayaan dan wilayah.

- Advertisement -

​Menurutnya, kegagalan mengambil kira sensitiviti ini mengukuhkan persepsi bahawa suara majoriti rakyat semakin dipinggirkan dalam proses membuat keputusan negara.

​“Kabinet ini juga tidak memperlihatkan usaha yang jelas untuk memperkukuhkan kedudukan dan kuasa politik Melayu-Islam, sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

​“Sebaliknya, beberapa pelantikan memberi gambaran bahawa pertimbangan politik jangka pendek lebih diutamakan berbanding kestabilan sosial dan keharmonian jangka panjang,” katanya.

Datuk ​Idris yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak menegaskan, rombakan ini dilihat sebagai langkah persiapan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) susulan prestasi hambar parti kerajaan dalam pilihan raya negeri sebelum ini.

​Jelasnya, pembentukan kabinet ini seolah-olah bertujuan meraih keyakinan pengundi bukan Melayu setelah menyedari penolakan berterusan pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH).

​“Pembentukan Kabinet ini dilihat lebih menguntungkan kelompok dan parti tertentu dalam Kerajaan Perpaduan (PH-BN), tanpa justifikasi yang meyakinkan kepada rakyat.

​“Keputusan mengekalkan menteri-menteri yang sebelum ini menerima kritikan terbuka rakyat turut menimbulkan persoalan sama ada prinsip kebertanggungjawaban benar-benar dihayati oleh kerajaan,” ujarnya.

​Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut membidas sikap DAP sebelum ini lantang mengugut sedia meninggalkan kabinet, namun kini terus kekal dan kelihatan semakin selesa dalam kerajaan.

​Kata Ustaz Idris, realitinya tiada parti dalam Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang sanggup melepaskan kuasa meskipun isu-isu asas rakyat masih gagal diselesaikan.

​Beliau turut melahirkan kebimbangan apabila beberapa portfolio penting kini dipegang oleh individu yang latar belakang mereka menimbulkan keraguan terhadap masa depan identiti budaya dan nilai agama dalam pentadbiran negara.

​“Pentadbiran negara tidak boleh dibina atas asas percaturan politik semata-mata. Keresahan rakyat hari ini adalah isyarat yang tidak wajar dipandang ringan. Masa depan negara menuntut kepimpinan yang berprinsip, berintegriti dan berpaksikan nilai agama serta keadilan sejagat,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/12/2025

- Advertisement -