Rakyat curiga hala tuju rombakan kabinet baharu

Hamzah Zainudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau menerima banyak maklum balas serta keresahan daripada rakyat susulan rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri kelmarin.
 

Menurut beliau, dalam tempoh 24 jam selepas pengumuman itu, pelbagai pihak turut membangkitkan rasa curiga terhadap hala tuju sebenar rombakan berkenaan.
 
“Rakyat berhak bertanya, adakah rombakan Kabinet ini akibat tekanan politik atau habuan kuasa? Persoalan ini berasas, terutamanya apabila kementerian-kementerian yang mempunyai pengaruh besar terhadap kerajaan tempatan dan wilayah.
 
“Kini dikuasai satu parti yang sebelum ini lantang memperjuangkan pilihan raya kerajaan tempatan,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Larut dalam satu kenyataan.
 
Beliau turut menegaskan bahawa perubahan melibatkan kementerian strategik seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi perlu dijelaskan secara telus, memandangkan peranannya sebagai tunjang kepada pengukuhan ekonomi negara.
 
“(Ia) Khususnya dalam membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKMS) yang kebanyakannya adalah Bumiputera, juga perlu diperjelaskan secara telus,” tegasnya.
 
Menurut Hamzah, rombakan Kabinet itu turut menimbulkan keraguan apabila menteri yang prestasi serta tindak-tanduknya dipersoalkan secara terbuka oleh rakyat masih dikekalkan dalam barisan pentadbiran.
 
“Begitu juga dengan pelantikan baharu individu yang dipertikaikan latar belakangnya,” tempelak beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Timbalan Presiden BERSATU.
 
Beliau menegaskan bahawa rombakan Kabinet tidak seharusnya dilihat sekadar pertukaran individu, sebaliknya perlu mencerminkan keupayaan kerajaan menangani kegagalan sedia ada.
 
“(Ia) bukannya semata-mata demi untung secupak hingga rugi segantang kerana yang menanggung kesannya adalah rakyat dan negara,” katanya.
 
Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim kelmarin mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu.

- Advertisement -

Beliau berkata rombakan itu dibuat bagi memastikan Jemaah Menteri berfungsi lebih berkesan, mengisi kekosongan sedia ada serta menumpukan usaha menjana pertumbuhan ekonomi dan menyelesaikan masalah rakyat.

Secara keseluruhan, rombakan berkenaan melibatkan tiga pertukaran portfolio menteri, 10 pertukaran portfolio timbalan menteri, tujuh lantikan baharu menteri dan lapan lantikan baharu timbalan menteri. – HARAKAHDAILY 18/12/2025
 

- Advertisement -