Kerajaan Madani tidak berani perangi industri dosa?

Nuridah Mohd Salleh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuan Kerajaan Negeri Kedah berhubung tindakan tidak memperbaharui lesen premis perjudian dan loteri yang telah dilaksanakan pada 1 Januari 2023, telah menimbulkan keresahan amat mendalam di kalangan rakyat Malaysia khususnya umat Islam.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, walaupun keputusan ini bersifat perundangan, tetapi ia akan memberi kesan kepada masa depan negara sekiranya aktiviti dan kegiatan perjudian dibiarkan berleluasa atas nama undang-undang dan pembahagian kuasa.

Bekas Ahli Dewan Negara itu menegaskan, industri judi bukan sekadar isu pelesenan atau bidang kuasa, sebaliknya merupakan punca kepada 1,001 masalah sosial negara.

“Bukan sahaja mengakibatkan keruntuhan institusi kekeluargaan, malah peningkatan hutang, keganasan rumah tangga, jenayah, ketagihan, penderitaan wanita dan anak-anak yang sering menjadi mangsa paling senyap,” tegas beliau pada kenyataannya, di sini.

Menurutnya lagi, apabila negara memilih untuk terus mempertahankan kelangsungan industri tersebut, maka secara tidak langsung, negara sedang menormalisasikan kemudaratan yang jelas dan berpanjangan.

Adalah tidak wajar katanya, industri dan aktiviti perjudian diberi kebenaran tanpa mempertimbangkan secara serius kerosakan sosial, ekonomi dan moral yang telah lama ditanggung oleh rakyat khususnya dalam rumahtangga.

Sungguhpun begitu, tambah beliau, pihaknya menghargai peranan serta jasa Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi, di mana pandangannya telah mewakili suara harapan rakyat serta hasrat umat Islam yang mendambakan dasar awam berpaksikan kebajikan, nilai moral dan kesejahteraan masyarakat.

Ujar Ustazah Nuridah lagi, pandangan hakim berkenaan, membuktikan dalam ruang perundangan, masih ada keberanian untuk meletakkan kepentingan awam mengatasi kepentingan industri yang ternyata membawa kerosakan.

“PAS, khususnya Dewan Muslimat, konsisten dan tidak pernah berubah. PAS akan terus komited memperjuangkan penghapusan ‘industri dosa’ seperti perjudian, kegiatan seksual dan seumpamanya yang terbukti menolak keberkatan negara dan meruntuhkan asas pembinaan masyarakat sejahtera.

“Usaha ini bukan didorong oleh sentimen sempit atau paksaan agama, tetapi atas tanggungjawab moral, kemanusiaan dan keinsafan terhadap realiti kerosakan yang sedang berlaku di hadapan mata,” katanya lagi.

Kerajaan Persekutuan juga diharapkan agar tidak bersembunyi disebalik tafsiran teknikal perlembagaan dan mengambil langkah berani untuk melaksanakan dasar dan undang-undang yang tegas berkaitan perjudian, demi masa depan generasi akan datang.

Dewan Muslimat juga katanya akan terus memperjuang serta mempertahankan nilai, membela keluarga, seterusnya menuntut sebuah negara yang diberkati, bukan negara yang bergantung kepada hasil daripada penderitaan rakyatnya sendiri.

“Menolak kemungkaran adalah tanggungjawab bersama, dan mempertahankan kemudaratan atas nama undang-undang adalah pengkhianatan terhadap amanah kepimpinan dan rakyat,

“Negara yang benar-benar madani bukan sekadar mematuhi undang-undang, tetapi berani memerangi industri dosa ini,” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 18/12/2025

- Advertisement -