Anwar digesa bantu negeri kekang industri perjudian

Dr Ahmad Dusuki Abd Rani
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz) menzahirkan rasa sedih terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 12 Disember 2025 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Keputusan Mahkamah itu menyatakan bahawa usaha Kerajaan Negeri Kedah menghentikan pembaharuan lesen premis perjudian adalah tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai merit.

- Advertisement -

Keputusan itu dibuat berikutan hal berkaitan perjudian dan pengeluaran lesen berada di bawah kuasa Persekutuan serta Kementerian Kewangan, Putrajaya.

Presiden Geng Ustaz, Ustaz Dr Ahmad Dusuki Abd Rani menegaskan bahawa menyekat pertumbuhan industri perjudian adalah tanggungjawab agama bagi setiap pemimpin Islam yang diamanahkan dengan kuasa pemerintahan.

“Ini sama seperti usaha pengharaman vape atau bahan yang membawa mudarat kepada masyarakat.

“Tindakan ini bukan untuk menghalang pertumbuhan ekonomi negara, akan tetapi untuk mencegah kerosakan ekonomi, gejala sosial, dan kehancuran akhlak umat Islam dan generasi akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memuji langkah awal beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah yang mengambil inisiatif menghalang perkembangan industri perjudian demi kesejahteraan rakyat dan keluarga.

Bagaimanapun katanya, usaha berkenaan kini berdepan risiko terbantut susulan tafsiran undang-undang serta kuasa perlembagaan.

Mengulas keadaan semasa, Ustaz Dr Ahmad Dusuki berkata situasi berkaitan perjudian dalam kalangan umat Islam amat membimbangkan, termasuk peningkatan kegiatan perjudian nombor ramalan dalam kalangan masyarakat Melayu Islam.

Beliau berkata, terdapat laporan tersebar menunjukkan kegiatan perjudian semakin meningkat dan pemenangnya terdiri daripada individu yang mempunyai nama serta identiti Melayu Islam.

“Kementerian Kewangan Malaysia, termasuk Perdana Menteri, (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) selaku Menteri Kewangan, perlu mengambil tindakan segera untuk memperkukuh rangka peraturan yang membendung pembangunan industri perjudian yang merosakkan akhlak dan budaya masyarakat Islam,” tegasnya.

Selain itu, beliau menuntut supaya undang-undang dibentuk atau dipinda agar kuasa negeri dalam hal moral dan sosial dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta selari dengan prinsip syariah.

Beliau turut menggesa semua pihak berkuasa serta pemimpin Islam yang memahami tanggungjawab syariat agar mengambil peranan proaktif ke arah mencegah dosa demi kebaikan ummah.

Dalam kenyataan sama, Geng Ustaz turut menyeru rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, supaya bangkit menyokong segala usaha membendung kegiatan perjudian di negara ini.

Menurut beliau, sokongan itu penting bagi menjaga keharmonian keluarga, akhlak masyarakat serta kestabilan ekonomi domestik.

“Sebarang usaha atau sokongan kepada individu, pihak atau institusi yang cuba memperkukuh kedudukan industri perjudian tidak sewajarnya disokong oleh umat Islam,” katanya.

Beliau menambah bahawa perjudian merupakan aktiviti yang diharamkan serta mendatangkan dosa besar menurut syariat Islam. – HARAKAHDAILY 18/12/2025

- Advertisement -