Gerakan kultus: Gubal dasar kawal dakyah bukan Islam 

Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menggubal dasar khusus bagi mengawal penyebaran agama bukan Islam susulan pendedahan berterusan berkaitan dakyah gerakan kultus Kristian yang menjadikan Malaysia sebagai sasaran penyebaran ajaran mereka.

Ketua Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, pendedahan itu amat membimbangkan kerana melibatkan individu-individu kenamaan selain program dakyah yang kebanyakannya bernaung di bawah program kementerian.
 
Menurutnya, gerakan kultus sedemikian sangat sukar dikesan kerana sering berselindung di sebalik slogan dan nama sejagat yang bersifat umum.
 
“Gerakan kultus ajaran Sun Myung Moon seperti yang didedahkan penyelidik ketika ini bersembunyi di sebalik nama seperti ‘Peace’, ‘Love’ dan sebagainya,” ujarnya dalam satu kenyataan.
 
Beliau berkata, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila dakyah tersebut pernah menyasarkan ahli legislatif Muslim, selain beberapa kali dilaporkan memasuki institusi pendidikan negara.
 
Menurutnya, program kempen atas nama sejagat seperti itu tidak mudah dikesan sekiranya tiada semakan latar belakang yang menyeluruh dilaksanakan.
 
Sehubungan itu, Dewan Ulamak PAS Pusat jelasnya, menggesa kerajaan mengambil langkah lebih teliti bagi menangani perkembangan dakyah Kristian yang disifatkan semakin berleluasa.
 
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, sebelum ini penyelidik Culture, Religions, Explorations, Ethics, Dialogues (CREED) turut mendedahkan kewujudan beberapa ajaran kultus lain yang menyebarkan dakyah songsang ke dalam masyarakat.
 
Beliau berkata, pihaknya berpandangan satu dasar pengawalan terhadap agama bukan Islam wajar digubal bagi mengawasi penyebaran dakyah bukan Islam terhadap umat Islam, khususnya dalam situasi perkembangan gerakan kultus yang semakin membimbangkan ketika ini.
 
“Perkara 11(4) dan Perkara 11(5) Perlembagaan Persekutuan wajar diperkukuh melalui penggubalan dasar serta akta yang jelas supaya akidah umat Islam dapat diselamatkan daripada sebarang dakyah yang menyimpang,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/12/2025

- Advertisement -
- Advertisement -