Gelombang kecewa penyokong kerajaan kian jelas – Idris

Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perkembangan politik semasa menunjukkan rakyat semakin matang dan tidak lagi menerima tindakan pemerintah secara membuta tuli, selain pelbagai kelompok penyokong kerajaan kini berasa kecewa.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, zaman ‘boleh buat apa sahaja’ sudah berlalu, kerana rakyat ketika ini semakin mengetahui dan memahami apa yang berlaku dalam pentadbiran negara.

- Advertisement -

“Ini bukan zaman edan. Zaman kamu boleh buat apa sahaja. Sekarang zaman rakyat sudah cerdik. Rakyat bukan hidup zaman batu,” katanya dalam media sosial miliknya hari ini.

Menurut beliau, kelompok reformasi 1998 yang pernah menjadi penyokong tegar kerajaan ketika ini turut menunjukkan kekecewaan, termasuk golongan profesional dan masyarakat Cina yang sebelum ini kuat menyokong Pakatan Harapan (PH).

Tambah Idris, majoriti masyarakat Melayu sejak awal lagi menolak gabungan berkenaan dan keadaan itu kini semakin ketara.

“Majoriti orang Melayu memang daripada awal sudah tolak. Sekarang bertambah lagi,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.

Dalam kenyataan sama, Idris menjelaskan bahawa pihaknya tidak mencampuri sebarang urusan siasatan, termasuk yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita tahu jawapannya, kita tidak campur tangan. Kita beri kebebasan pada SPRM,” ulasnya yang juga mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Beliau turut mengulas suasana politik menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 (PRU17), dengan menyifatkannya sebagai ‘lawak’ sehari sebelum rakyat turun mengundi.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa peguam, Zaid Malek berkata pegawai SPRM memecah masuk rumah ahli perniagaan, Albert Tei, menggari serta membawanya keluar tanpa memperkenalkan diri, selain turut menghalang peguam daripada berjumpa anak guam mereka.

Zaid menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran hak undang-undang dan mempersoalkan sebab seorang pemberi maklumat ditangkap, sedangkan individu yang dilaporkan belum dikenakan tindakan.

Serbuan berlaku walaupun tarikh rakaman keterangan telah ditetapkan, dan insiden itu berkait pendedahan Albert bahawa beliau pernah menyalurkan RM629,000 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin. – HARAKAHDAILY 28/11/2025

- Advertisement -