Pengundi diingat tak terpedaya ‘gula-gula politik’

Dr Afifi Saif
- Advertisement -

PUTATAN: Menjelang hari pengundian yang berlangsung esok, calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Petagas, Dr Afifi Saif, mengingatkan para pengundi agar tidak mudah terpedaya dengan budaya ‘gula-gula politik’ yang lazim diberikan saat-saat akhir kempen.

- Advertisement -

Beliau menegaskan bahawa pemberian berupa wang atau barangan bukanlah tanda keikhlasan, tetapi strategi untuk membeli undi dan mengikat pengundi kepada kepentingan pihak tertentu.

“Kalau mereka bagi sejumlah wang hari ini, lima tahun nanti mereka akan kaut semula berkali ganda,” tegas Dr. Afifi ketika berucap dalam siri ceramah kelompok dalam DUN Petagas.

Menurutnya, maruah rakyat tidak boleh ditukar ganti dengan tawaran sementara yang akhirnya merugikan masyarakat sendiri.

“Kalau kita terima pemberian dan undi mereka, mana maruah kita? Kita yang menanggung beban lima tahun nanti,” katanya.

Beliau turut menyentuh realiti politik di Sabah yang sering dibelenggu budaya sogokan.

Namun, jelasnya, pengundi kini semakin matang dan sedar hakikat permainan politik wang tersebut.

“Zaman sekarang sudah berubah. Pengundi Petagas dan Putatan ni sudah pandai. Mereka tahu politik wang ini merosakkan generasi kita,” ujar beliau.

Beliau turut menyampaikan mesej yang sering diulang dalam kalangan rakyat pada musim kempen pilihan raya: ‘Kalau dikasi gula-gula, ambillah, itu duit rakyat juga. Tapi undi tetap kepada PERIKATAN NASIONAL’.

Katanya lagi, kata-kata seperti ‘tiada duit, tiada undi’ adalah bukti bagaimana sebahagian pihak telah merosakkan demokrasi sehingga rakyat mula jemu dan muak dengan janji yang tidak pernah ditunaikan.

Beliau menegaskan, perubahan politik Sabah hanya boleh berlaku sekiranya rakyat mengundi berdasarkan integriti, bukan imbuhan.

“Rakyat kita sudah muak dengan politik janji kosong. Kita mesti walk the talk, bukan sekadar bercakap, tetapi kena ada bukti,” tegasnya.

Dr. Afifi menyeru seluruh pengundi Petagas untuk keluar mengundi esok dengan penuh kesedaran, memilih masa depan yang bersih, stabil dan berintegriti. – HARAKAHDAILY 28/11/2025

- Advertisement -