
KOTA KINABALU: Datuk Dr Aliakbar Gulasan menyatakan rasa amat diperhatikan dan terharu apabila Karambunai dipilih sebagai tuan rumah program Ceramah Mega Kasi Bagus Sabah sebagai satu petanda awal kemenangan di kawasan berkenaan.
Menurut calon PERIKATAN NASIONAL (PN) DUN Karambunai itu, kehadiran penyokong memberi isyarat bahawa Karambunai sedang mengumpul momentum perubahan dan ia menjadi simbol keyakinan PN terhadap kekuatan sokongan rakyat menjelang hari pengundian, esok.
“Saya kira ini diantara titik-titik awal ataupun petanda awal dengan izin Allah taala, kita akan melaungkan kemenangan Kasi Bagus Sabah di DUN Karambunai ini, insya-Allah,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Mega Kasi Bagus Sabah di Dewan Serbaguna Taman Putra Jaya, Telipok, malam tadi.
Bekas ADUN Lantikan DUN Sabah penggal lalu itu berkata, perubahan slogan kempen PN daripada ‘Kasi Jadi’ sebelum penamaan calon kepada ‘Kasi Menang’ selepas itu, menggambarkan tekad PN yang semakin mengukuh khususnya di DUN Karambunai.
Menurut beliau, manifesto PN Sabah yang baru dilancarkan mengandungi 12 tunjang dan 159 tawaran merupakan tawaran paling menyeluruh kepada rakyat negeri ini.
“12 Tunjang, ada 159 tawaran yang saya kira tidak ada yang terkecuali dan tercicir daripada kandungan keseluruhan tunjang ini dan juga tawaran-tawaran yang diberikan oleh PERIKATAN NASIONAL.
“Saya seru kepada rakyat Sabah khususnya, kali ini kita kasi bagus Sabah sungguh-sungguh, kita mahu kasi menang PERIKATAN NASIONAL.
“Tawaran dan juga tunjang yang diberikan oleh PERIKATAN NASIONAL ini suatu yang cukup besar kepada rakyat Sabah, kalau rakyat Sabah tidak pilih PERIKATAN NASIONAL pada kali ini, rakyat Sabah berada dalam kerugian yang sangat lama,” ujarnya.
Dr Aliakbar menegaskan bahawa sokongan rakyat yang hadir pada malam tadi mampu berkembang berlipat kali ganda pada hari pengundian, esok.
“Daripada 300 ini boleh berganda menjadi 5,000, 10,000, 15,000 orang, dan saya yakin, sedikit masa dalam tempoh dua hari sebelum sampai ke tempat penamat ini, 12 malam esok kita akan bekerja sungguh-sungguh untuk PERIKATAN NASIONAL menang pada kali ini,” kata bekas pensyarah Universiti Malaysia Sabah itu lagi.
Jelasnya, tempoh dua hari terakhir sebelum berakhirnya kempen adalah masa paling kritikal, dan PN akan bekerja sepenuhnya untuk memastikan kemenangan di Karambunai serta seluruh Sabah.
“Tuan-tuan, seruan terakhir saya, rakyat Sabah biasa ‘dibom’ pada saat-saat akhir, esok malam hari pengeboman yang luar biasa, kita seru pada rakyat Sabah, dan yakin anak-anak Sabah ini sudah tidak boleh lagi dibom pada PRUDU ke-17 ini sebab kali ini kita mahu berubah yang benar-benar kita Kasi Bagus Sabah untuk lima tahun akan datang,” ujarnya.
Dr Aliakbar turut menyatakan keyakinannya bahawa kesepaduan calon-calon PN dari kawasan berhampiran mengukuhkan usaha gabungan itu untuk mencapai kemenangan bersama.
Menurutnya, semangat sepasukan itulah yang menjadi kekuatan PN dalam mendepani Pilihan Raya Negeri kali ini.
Turut hadir dalam program tersebut adalah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Timbalan Presiden PAS, Dato Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengarah Pilihan Raya PAS bagi PRN Sabah, Tan Sri Annuar Musa. – HARAKAHDAILY 28/11/2025











