
KUALA LUMPUR: Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) mengingatkan rakyat Malaysia agar jangan memandang ringan ancaman Ribut Tropika Senyar.
Pengerusinya, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary, berkata walaupun Malaysia bukan berada dalam laluan utama ribut tropika, sejarah membuktikan negara ini pernah menerima kesan ribut besar seperti Taufan Greg di Sabah pada tahun 1996 dan Ribut Tropika Vamei pada tahun 2001.
”Peristiwa ini mengingatkan kita bahawa ancaman seperti Ribut Tropika Senyar tidak wajar dipandang ringan dan menuntut kesiapsiagaan semua pihak,”katanya.
Tambah Ahmad Marzuk, pihaknya mengambil maklum amaran rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung Ribut Tropika Senyar yang dilaporkan mula memasuki perairan negara sekitar jam 3 petang ini.
“Fenomena itu dijangka memberi kesan kepada beberapa kawasan bermula hari ini sehingga Sabtu (29 November) dengan membawa angin kencang berkelajuan sekitar 50 kilometer sejam (km/j), hujan lebat berterusan serta keadaan laut bergelora,” jelasnya.
Menurut beliau, situasi tersebut berpotensi mengancam keselamatan orang awam serta infrastruktur di kawasan terlibat terutamanya di negeri-negeri bahagian barat dan tengah Semenanjung.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat khususnya di Semenanjung Malaysia dan kawasan berhampiran Selat Melaka agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga.
Ahmad Marzuk turut memaklumkan, Khidmat Malaysia di seluruh negara telah diarahkan untuk berada dalam keadaan siap siaga bagi memantau kawasan berisiko serta bersedia memberikan bantuan sokongan sekiranya diperlukan.
Menyedari hakikat perlindungan mutlak hanya daripada Allah, beliau turut menyeru umat Islam agar memperbanyakkan munajat memohon perlindungan Ilahi sebagaimana doa yang diajar oleh Rasulullah SAW ketika berhadapan angin kencang.
Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran berhubung Ribut Tropika Senyar yang sedang bergerak merentasi Selat Melaka menuju ke barat Semenanjung dengan kelajuan antara 9 hingga 50 km/j.
Fenomena ini dijangka membawa jumlah hujan mencecah 200 hingga 300 milimeter, sekaligus menuntut orang ramai supaya menjauhi kawasan berisiko banjir serta sentiasa peka dengan amaran terkini. – HARAKAHDAILY 28/11/2025
CAP: Ahmad Marzuk melawat mangsa banjir di Kelantan.











