
IPOH: Kerajaan Negeri Perak digesa memberikan penjelasan tegas berhubung beberapa perkembangan terkini berkaitan kedudukan kuasa dan keluasan tanah negeri yang semakin membimbangkan.
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Razman Zakaria, berkata pihaknya memandang serius cadangan menjadikan Kampung Baru Cina sebagai kawasan warisan melibatkan pengiktirafan badan antarabangsa, serta pemberian status Pembaharuan Semula Bandar (URA) kepada pihak pemaju.
Menurutnya, kedua-dua langkah ini berpotensi melemahkan kuasa eksklusif kerajaan negeri terhadap tanah.
“Status warisan antarabangsa lazimnya melibatkan pematuhan kepada garis panduan luar, manakala status URA memberi kuasa besar kepada pemaju dalam menyusun semula kawasan termasuk aspek perancangan dan guna tanah.
“Kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya membenarkan mana-mana langkah yang mengakibatkan kuasa tanah negeri dipindahkan atau dipengaruhi pihak lain, sama ada pemaju swasta mahupun badan antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Dewan Negeri Perak di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol turut membangkitkan isu pengurusan tatakelola kawasan Tanah Rizab Melayu (TRM) dan trend pengecilan tanah negeri yang berterusan.
Razman menegaskan, isu melibatkan kawasan di Mukim Sitiawan dan Seri Iskandar yang dilaporkan media sebelum ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk dan pihak berkepentingan.
“Kami berpandangan sebarang pengurangan tanah negeri atau TRM membawa implikasi besar terhadap kedudukan kedaulatan negeri, kemampuan kerajaan menentukan dasar perancangan jangka panjang serta kepentingan rakyat tempatan yang semakin terancam,” katanya.
Sehubungan itu, Razman menuntut kerajaan negeri menyatakan pendirian rasmi secara terbuka berhubung isu ini dan memberikan jaminan bertulis untuk mempertahankan kedaulatan tanah serta usaha memperkasa TRM di Perak.
Beliau menyatakan bahawa kerajaan negeri yang mendakwa mengamalkan prinsip Madani sepatutnya bertindak telus, bertanggungjawab dan melindungi hak rakyat, bukannya membuka ruang kepada percaturan yang melemahkan kuasa negeri.
“Jangan ulangi episod sebelum ini di mana isu tanah hanya dijelaskan selepas timbul bantahan awam atau pendedahan media.
“Pembangkang akan terus memperjuangkan isu ini demi memastikan tanah negeri Perak kekal terpelihara, kedaulatan negeri tidak digadai dan kepentingan rakyat tidak dikompromi,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/11/2025











