
IPOH: Kerajaan Negeri Perak digesa memandang serius isu pencemaran alam sekitar melibatkan aktiviti perlombongan dan kuari yang didakwa semakin kritikal sehingga menjejaskan kesihatan rakyat serta sumber air bersih.
Husairi Ariffin (PN-Kenering) berkata, walaupun Belanjawan 2026 memperuntukkan RM75.98 juta untuk kelestarian alam sekitar, rakyat masih sangsi dengan tata kelola sumber semula jadi susulan penggantungan operasi beberapa tapak perlombongan baru-baru ini.
Menurutnya, siasatan mendapati wujud pencemaran sungai yang serius melibatkan entiti yang mempunyai kaitan dengan badan berkaitan kerajaan (GLC) negeri, iaitu Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dalam usaha sama dengan syarikat swasta.
“Rakyat berhak mendapat penjelasan bagaimana entiti yang melibatkan kepentingan negeri boleh terlibat dalam kejadian ini.
“Adakah audit bebas serta pemantauan masa nyata akan diwajibkan untuk semua loji rawatan dan aktiviti perlombongan sensitif?
“Kerajaan negeri mesti mendedahkan laporan makmal kepada umum kerana terdapat dakwaan Badan Bukan Kerajaan (NGO) mengenai bacaan radiasi melebihi had di lokasi pembuangan sisa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Perak 2026 pada Persidangan Dewan Negeri Perak, di sini, semalam.
Husairi turut membangkitkan penderitaan penduduk di kawasan seperti Sungai Siput, Hulu Perak, Segari dan Kinta yang terhimpit akibat debu kuari, gegaran letupan serta sungai yang keruh.
Justeru, beliau menggariskan lima tuntutan segera termasuk pelaksanaan audit bebas oleh pihak ketiga, pemasangan sistem pemantauan masa nyata di loji rawatan, serta penubuhan tabung deposit pemulihan alam sekitar.
Dalam pada itu, Husairi turut menyuarakan kebimbangan terhadap nasib nelayan darat di sekitar Kampung Jagur, Kampung Air Ganda dan zon Kenering yang hilang punca pendapatan akibat pencemaran sungai.
Beliau mencadangkan agar kerajaan mewujudkan ‘Skim Bantuan Musim Terjejas’ khusus untuk nelayan darat yang berlesen, memandangkan pekebun kecil getah mendapat bantuan musim tengkujuh daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Menyentuh isu pembangunan, beliau melahirkan rasa kesal apabila projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Tawai yang telah mendapat kelulusan RM50 juta daripada kementerian gagal dilaksanakan.
“Amat mendukacitakan apabila projek yang lengkap dengan dewan dan surau ini gagal dilaksanakan disebabkan bantahan daripada Ahli Parlimen Lenggong sendiri.
“Ini satu kerugian besar kepada penduduk zon Kenering. Seolah-olah tiada persefahaman antara pentadbiran daerah dengan Ahli Parlimen sehingga rakyat menjadi mangsa,” tegasnya.
Menyentuh soal pendidikan Islam, Husairi menggesa kerajaan negeri dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) tidak membiarkan Sekolah Agama Rakyat (SAR) ditutup hanya kerana jumlah murid kurang daripada 30 orang.
Beliau menjelaskan bahawa tindakan mengurangkan guru akibat kuota murid menyebabkan beban tugas guru menjadi tidak munasabah, di mana seorang guru terpaksa mengajar pelbagai darjah serentak.
“Kerajaan negeri bertanggungjawab membantu SAR meneruskan kelangsungan pendidikan, bukan menjadikan kekurangan murid sebagai alasan penutupan.
“Pendidikan agama awal adalah asas pembentukan akhlak. Sepatutnya usaha dipergiat untuk memastikan anak-anak Melayu Islam mendapat pendidikan di SAR,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/11/2025











