
IPOH: Pihak pembangkang di Perak mempersoalkan ketelusan pelaksanaan pekeliling dan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan kemasukan ahli politik ke kawasan sekolah yang tidak dipatuhi secara konsisten oleh pentadbiran negeri.
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, mutakhir ini timbul pelbagai isu berhubung pelanggaran Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) KPM bilangan 4 Tahun 2023.
Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang sering dimaklumkan bahawa mereka tidak dibenarkan memasuki sekolah walaupun tujuan lawatan bukan bersifat politik.
“Kami sering dimaklumkan tidak dibenarkan masuk walaupun untuk urusan seperti penyerahan bantuan alat tulis, beg sekolah, sumbangan infrastruktur, program bacaan Yasin, atau sekadar menghadiri sambutan Hari Guru dengan hanya membawa kek ke pintu pagar sekolah.
“Sebaliknya, muncul pula dakwaan awam bahawa terdapat pemimpin kerajaan negeri yang dibenarkan masuk ke sekolah tanpa halangan yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Dewan Negeri Perak, semalam.
Razman turut mendedahkan kewujudan rakaman video serta aduan awam yang mengaitkan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada parti DAP yang memasuki sekolah dan menjalankan aktiviti berunsur kempen politik.
Beliau menyatakan, walaupun tidak menamakan individu terbabit, isu ini menimbulkan persoalan besar kerana wujud perbezaan layanan yang ketara antara pemimpin kerajaan dan pembangkang.
“Ini bertentangan dengan semangat pekeliling rasmi KPM SPI 4/2023 dengan jelas menetapkan semua ahli politik kerajaan atau pembangkang wajib membuat permohonan rasmi sebelum masuk ke sekolah.
“Sekolah tidak boleh memberi kelebihan kepada mana-mana parti, aktiviti yang menjurus kepada kempen politik, mempromosi parti atau membawa simbol politik adalah dilarang,” tegasnya.
Tambah beliau, jika pemimpin tertentu bebas masuk tanpa halangan benar-benar berlaku, ia merupakan satu percanggahan terhadap pekeliling KPM.
“Ini adalah satu bentuk tatakelola yang lemah (misgovernance) yang tidak boleh dibiarkan berterusan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/11/2025











