Dasar negeri gagal bebaskan rakyat dari kemiskinan

- Advertisement -

​IPOH: Kebergantungan rakyat kepada pelbagai bentuk bantuan dan program subsidi menandakan kegagalan kerajaan negeri dalam membasmi kemiskinan tegar secara tuntas.

Zafarulazhan Zan (PN-Kampung Gajah) berkata, walaupun peruntukan RM32.1 juta untuk program seperti Jualan Sejahtera, Kad Perak Sejahtera, Kotak Makanan dan sebagainya adalah baik, namun ia mencerminkan bahawa dasar negeri belum berjaya membebaskan masyarakat khususnya di luar bandar daripada kepompong kemiskinan.

- Advertisement -

​“Saya amat bersetuju dengan peruntukan tersebut, namun ia sebenarnya melambangkan kerajaan kita tidak dapat lagi membasmi kemiskinan.

​“Sekiranya dasar negeri yang dilaksanakan benar-benar berjaya membebaskan rakyat daripada kemiskinan, maka bantuan sebegini tidak lagi diperlukan.

​“Bukan soal tidak setuju (dengan bantuan), tetapi kewujudan bentuk-bentuk bantuan ini menunjukkan kegagalan kita,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Perak 2026 pada Persidangan Dewan Negeri Perak, di sini semalam.

​Menurut Zafarulazhan, walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perak mencatat pertumbuhan 2.7 peratus, realitinya rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi dan beban hutang yang semakin bertambah.

​Tambah beliau, situasi ini menandakan ketidakstabilan ekonomi dan fokus sektor yang tidak seimbang di mana kekayaan hanya berlegar dalam sektor dan syarikat besar tertentu, manakala rakyat kebanyakan hanya mendapat tempiasnya.

​Sementara itu, menyentuh mengenai isu banjir, Zafarulazhan mendesak agar satu perbincangan khas diadakan bagi mencari penyelesaian tuntas, dan bukannya bertindak secara reaktif hanya apabila bencana berlaku.

​Beliau melahirkan rasa simpati terhadap mangsa banjir di kawasannya yang kini mempunyai empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

​“Rata-rata mangsa banjir berada dalam keadaan sukar. Walaupun di PPS disediakan kiub (ruang privasi), namun fasiliti seperti tandas terpaksa dikongsi ramai dan tidak selesa.

​“Kita harapkan perkara ini dapat diperbaiki dari semasa ke semasa. Kita mahu satu penyelesaian konkrit, bukan bila berlaku banjir baru kita bangkit dan bincangkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/11/2025

- Advertisement -