
BERBAKI sehari lagi kempen untuk PRN Sabah yang paling getir dalam sejarahnya. Petugas-petugas PRN serta calon-calon berkeringat sepanjang dua minggu dengan keragaman sinetron politik, lakonan tahap wayang tinggi sebahagian pemain politik yang muncul lima tahun sekali. Pengundi Sabah selama dua minggu ini dirayu, diintimidasi secara halus, disogok, dirasuah oleh pelbagai pihak.
Penyalahgunaan jentera Kerajaan Pusat dan Negeri bukan lagi rahsia umum, menjolok mata bahkan bukan lagi sekadar cerita roti Gardenia.
Keangkuhan Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution, yang memberikan amaran kepada pengundi agar pengundi Sabah memilih parti yang sehaluan dengan Kerajaan Pusat. Sabah mungkin menghadapi ‘hubungan dingin’ dengan Kerajaan Persekutuan jika Ketua Menteri selepas PRN tidak sehaluan politik dengan Perdana Menteri. Naratif inilah yang dimainkan oleh pemimpin Kerajaan Pusat yang turun berkempen di seluruh Sabah. Tanpa berbasa basi, sumbangan demi sumbangan diberikan kepada pengundi semasa dalam kempen, bahkan berlatarkan jata negara!
BN mempunyai sejarah panjang dalam ‘mengepung pengundi’, kali ini jelas begitu rakus, menggunakan apparatus kerajaan manakala PH pula belajar dengan pantas merosakkan sistem demokrasi malah lebih rakus. Isu sakau menyakau regim Madani ini telah menjadi bom jangka PRN Sabah sehingga membawa kepada perletakan jawatan Setpol Perdana Menteri.
Sepanjang tiga tahun yang gagal ini, parti pemerintah kehilangan langkah berimbang. Segala isu yang dilontarkan oleh avatar politik seperti boomerang yang membalik arah serta membahang tengkuk mereka sendiri.
Membantu Sabah adalah tanggungjawab Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan. Sabah adalah pengasas bersama Persekutuan Malaysia 1963, bukannya tanah jajahan kepada Malaysia, namun politik tidak matang kerajaan Anwar seolah-olah membuli Sabah serta merendahkan wibawa negeri dalam Persekutuan termasuk SG4.
Ayuh orang Sabah, bukalah mata dan berdiri dengan penuh maruah, tolak gabungan politik yang menindas warga Sabah! Pilihlah calon yang berintegriti, berprinsip serta tegas mempertahankan hak negeri. Jangan kalian mengundi calon yang bermasalah seperti melindungi kes kematian, bergelumang dengan rasuah, mempunyai kes mahkamah, terbabit dengan KKN, tidak merakyat bahkan jauh kelibatnya daripada lapangan kecuali di musim meraih undi!
Negeri ini kaya raya namun rakyatnya masih ramai di bawah garis kemiskinan. Jalan raya di kawasan luar bandar seperti denai babi, berlubang tidak diselenggara dengan baik, juga masalah air bersih masih lagi menjadi masalah utama. Anak muda terutamanya pengundi kali pertama wajib menjadi sebahagian daripada sejarah emas Sabah, berikanlah undi kepada calon serta parti politik yang tidak menyogok rasuah. Undi kalian akan mencorak rupa gaya negeri ini untuk tempoh lima tahun mendatang.
Untuk pengundi Sabah pada 29 November ini, kami menawarkan sosok-sosok calon terbaik PN daripada sudut latar belakang pendidikan, kerajinan di lapangan, tiada isu integriti serta tegas mempertahankan hak negeri Sabah. Karambunai kami menawarkan Datuk Dr Aliakbar Gulasan, Dr Afifi Saif di Petagas, Ahmad Dullah di Tanjung Batu, Dr Munzier Mahamud di Balung, Hassan Haris di Merotai serta Kasman Karate di Kunak.
Serangan 24 jam terakhir adalah untuk merasuah pengundi Sabah, melencongkan segala prinsip kebenaran. Harga diri bukanlah semurah tangki air biru, beberapa lembaran wang kertas seratus ringgit, raga makanan berjata Kerajaan Pusat atau Negeri. Memilih pemimpin adalah tanggungjawab yang akan diperhitungkan, impaknya besar serta berpanjangan, jom berani untuk berubah, urang Sabah!
Kegagalan pembangunan Sabah berakar daripada pengabaian Kerajaan Pusat serta pemimpin negeri yang kurang kompetensi, malah bersalut KKN (korupsi, kroni, nepotisme). Telanlah hakikat pahit ini jika pengundi Sabah salah membuat pilihan pada 29 November ini.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 28/11/2025











