
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) disifatkan mengalami proses ‘kereputan kuasa’ apabila budaya kronisme, politik wang, rasuah dan penyalahgunaan kuasa semakin ketara dalam pentadbiran kerajaan ketika ini.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, meskipun PH masih bertahan sebagai kerajaan, tanda-tanda ‘reput’ jelas kelihatan dan semakin sukar disembunyikan.
Menurutnya, punca keretakan itu lahir daripada budaya politik payung atau patronage, perebutan habuan serta keghairahan mengutamakan kroni berbanding prinsip perjuangan.
“Sebelum berkuasa, cakapnya lain. Selepas berkuasa, buatnya lain. Tiada lagi idealisme perjuangan, tiada lagi reformasi, tiada lagi integriti,” katanya.
Beliau menegaskan apa yang wujud ketika ini hanyalah usaha mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan peribadi.
“Jawatan, bagi kroni. Projek, bagi kroni. Tak cukup Ringgit, diminta pula Pound, Euro dan USD,” tempelaknya.
Mohd Syahir yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS menegaskan kerajaan hari ini mudah melafazkan janji, namun tidak segan untuk memungkirinya.
“Dahulu, laungan reformasi. Hari ini, permintaan refor-kasi,” bidas beliau yang turut memegang peranan sebagai Ketua Portfolio Ekonomi PN.
Dalam pada itu, beliau menyeru pengundi Sabah supaya membuat keputusan terbaik pada hari pengundian, Sabtu, 29 November ini, dengan memilih calon yang bersih dan dekat dengan rakyat.
“Kita bangun awal-awal, pakai baju cantik-cantik… kita sambut hari ‘pilihan’ raya. Kita pilih yang baik-baik, yang bersih-bersih, muka baharu, yang dekat dengan rakyat,” katanya.
Beliau turut menasihatkan agar pengundi tidak memilih calon yang sombong, rasuah, mungkir janji atau mementingkan kekayaan sendiri.
“Sabah, kasi ajar sama PH. Biarkan PH ‘mereput’, biarkan PMX serabut, sebelum PH ‘runtuh’ dengan sendirinya.
“Sabah, kasi bagus. Malaysia, kasi bagus. Selamat berhari raya, saudaraku di Sabah,” katanya.- HARAKAHDAILY 28/11/2025











