
KUALA TERENGGANU: Program Penghayatan Itqan Al-Muluk Bita’dil As-Suluk 2025 dijadikan sebagai pemangkin kepada usaha menyuburkan budaya ketelitian dalam kerja, adab dalam perilaku serta taqwa dalam semua tindakan, bagi memastikan Terengganu terus diberkati Allah SWT.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Da’wah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, maksud Itqan Al-Muluk Bita’dil As-Suluk membawa pengertian mendalam bahawa keadilan dan kelurusan akhlak dalam kepimpinan adalah asas kepada pembangunan masyarakat dan kesejahteraan negeri.
“Ia juga mengingatkan kita bahawa kemuliaan sesebuah pemerintahan dan keindahan sebuah masyarakat bermula daripada kesungguhan memperbaiki diri, memperelok amalan serta menegakkan adab dalam setiap urusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis tersebut, di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung Jabatan Mufti Kesultanan Oman, Syeikh Ahmad Saud Al-Syiabi dan Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Abdul Malik Wan Sidiq.
Beliau berkata, sejarah Terengganu bermula daripada Batu Bersurat, undang-undang tubuh kerajaan, sehingga polisi Islam masa kini, menunjukkan kesinambungan usaha kerajaan negeri dalam mendukung nilai Islam.
“Alhamdulillah, program yang diadakan pada hari ini memberi makna yang sangat penting kepada sejarah Negeri Terengganu Darul Iman.
“Saya mewakili jawatankuasa, penerangan, dakwah dan pemerkasaan syariah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Menteri Besar, kepada seluruh pembentang-pembentang, peceramah-peceramah dan urustia yang menjayakan program ini dan kepada semua hadirin dan hadirat yang datang untuk menjayakan dan memastikan program ini berjalan dengan lancar.
“Sama-sama kita dapat istifadah (mengambil iktibar) daripadanya untuk kita terus mendukung agenda-agenda Islam yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan untuk kita terus mencintai negara seterusnya negeri Terengganu Darul Iman yang mempunyai sejarah Islam yang begitu hebat bukan sahaja bagi tanah air ini, bahkan bagi keseluruhan alam Melayu ini, Alhamdulillah,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/11/2025











