
IPOH: PAS Negeri Perak menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan tuntas dan menyeluruh berhubung dakwaan rasuah yang mengaitkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.
Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Khalil Yahaya berkata, dakwaan penerimaan wang berjumlah lebih RM600,000 daripada seorang ahli perniagaan itu bukan sahaja mengejutkan, malah menimbulkan persoalan serius mengenai tahap integriti dan tatakelola di Pejabat Perdana Menteri (PMO).
“PAS Perak menuntut SPRM menyiasat segala bentuk salah laku tanpa pengecualian, termasuk dakwaan pembayaran tunai, pengubahsuaian hartanah, dan permintaan wang yang didakwa berlaku.
“Siasatan tidak boleh terhenti pada bekas Setiausaha Politik sahaja, sebaliknya mesti menyelidik segala aliran dana tanpa rasa takut atau bimbang walaupun ia melibatkan orang kanan nombor satu negara,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Central Ipoh, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pembangkang Ahli Dewan Negeri Perak, Razman Zakaria.
Mengulas mengenai peletakan jawatan Shamsul Iskandar, Khalil menyifatkan tindakan itu tidak boleh dijadikan ‘jalan keluar’ untuk mengelak daripada siasatan penuh.
Menurut beliau, tindakan tersebut secara politiknya dilihat sebagai satu pengakuan awal terhadap kekeruhan yang sedang berlaku dalam pentadbiran kerajaan hari ini.
Beliau turut membidas sikap Perdana Menteri yang dilihat gagal mengambil tindakan tegas ketika kontroversi bermula, sekaligus mencalarkan kredibiliti slogan ‘MADANI’ yang dilaungkan.
“Kegagalan Perdana Menteri mengambil tindakan pantas menimbulkan tanda tanya sama ada beliau memandang ringan isu rasuah atau sejauh mana kesalahan ini dibiarkan berlaku. Ini adalah contoh buruk yang mencemarkan imej PMO,” ujarnya.
Dalam pada itu, pendedahan skandal ini disifatkan berlaku tepat pada masanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Khalil menyeru lebih 1.7 juta pengundi di Sabah agar menjadikan insiden ini sebagai isyarat jelas untuk menolak retorik kosong kerajaan pusat yang kini dibayangi skandal rasuah.
“Rakyat Sabah digesa tidak terpengaruh dengan desakan memilih kerajaan yang kononnya selari dengan pusat, kerana pusat kini sendiri terpalit dengan isu integriti yang serius.
“Pilihlah Perikatan Nasional (PN) yang hadir dengan iltizam politik matang, telus dan komited membela rakyat, jauh daripada politik kotor sebegini,” katanya lagi.
Justeru, menurut beliau, PAS Perak menegaskan sekiranya perkara ini berasas, tindakan undang-undang yang tegas perlu dikenakan terhadap kedua-dua pihak, iaitu pemberi dan penerima rasuah demi menjunjung kedaulatan undang-undang negara. – HARAKAHDAILY 28/11/2025











