Itqan Al-Muluk Bita’dil As-Suluk terus dihayati

Ahmad Samsuri pada majis perasmian Program Penghayatan Itqan Al-Muluk Bita’dil As-Suluk di Kuala Terengganu.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Negeri Terengganu mengambil langkah proaktif dalam menghidupkan kembali prinsip ketelitian dan keadilan dalam pentadbiran melalui program Penghayatan Itqan Al-Muluk Bita’dil As-Suluk 2025.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program itu bertujuan memperkukuh pemahaman rakyat dan pemimpin terhadap nilai-nilai yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu 1911, yang diasaskan oleh Almarhum Sultan Zainal Abidin III sebagai panduan dalam pemerintahan.

“Program hari ini adalah manifestasi kita bersama untuk mengangkat kembali warisan perundangan dan falsafah tadbir urus yang menjadi tunjang identiti Negeri Tengganu Darul Iman.

“Program kita hari ini iaitu penghayatan Itqan Al-Muluk Bita’dil As-Suluk yang bermaksud ketelitian dan keadilan dalam pemerintahan,” katanya.

Menurutnya, tokoh-tokoh terdahulu dari negeri Terengganu, khususnya Almarhum Sultan Zainal Abidin yang ketiga, telah membentuk perundangan ini sebagai benteng kedaulatan dan sebagai penegas bahawa syariah Islam mesti menjadi sumber utama dalam urusan pentadbiran dan kehidupan masyarakat.

“Di sini kita perlu menghayati bahawa kualiti pemerintahan diukur bukan pada kekayaan material.

“Bahkan ia diukur pada ketelitian dalam pengurusan dan ketegasan dalam memastikan keadilan kepada seluruh rakyat. Dan akhirnya yang paling penting ialah mendapat keberkatan dan diredai oleh Allah SWT,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis berkenaan di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Da’wah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Setiausaha Agung Jabatan Mufti Kesultanan Oman, Syeikh Ahmad Saud Al-Syiabi dan Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Abdul Malik Wan Sidiq.

Sehubungan itu, Ahmad Samsuri menyeru semua lapisan masyarakat, termasuk penjawat awam dan pemimpin untuk menjadikan semangat Itqan dan Muluk sebagai panduan dalam kehidupan seharian dan pengurusan negeri.

“Semoga nilai ketelitian dan keadilan ini terus menyala dalam setiap entiti dan jentera kerajaan serta masyarakat untuk membawa terengganu ke arah negeri yang maju berkat dan sejahtera,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/11/2025

- Advertisement -