MB seru rakyat waspada gelombang kedua banjir

Mohd Shukri turun padang bersama pegawai-pegawai khasnya ke beberapa kawasan yang terjejas dan berisiko di Perlis.
- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir apabila Ribut Tropika Senyar menguat semula dan berpotensi membawa kesan luar biasa kepada Semenanjung Malaysia.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, menegaskan agar seluruh rakyat Perlis tidak leka dengan keadaan air yang mula surut di beberapa kawasan.

“Kita harap semua rakyat Perlis berjaga-jaga untuk gelombang kedua banjir. Jangan kita suka bila ayaq surut dan kita kena bersedia untuk gelombang kedua,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.

Ia adalah susulan Ribut Tropika Senyar, yang menurut kenyataaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) terbentuk di Selat Melaka dan telah bergerak melanda pantai barat dan tengah, termasuk Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang.

Sehubungan itu, MetMalaysia menjangkakan hujan lebat berterusan, angin kencang sehingga sekitar 40–60 km/j dan laut bergelora sehingga sekurang-kurangnya Sabtu ni.

Menurut kenyataan itu lagi, ia bukan lagi ribut biasa musim hujan, ini sistem ribut tropika yang lengkap.

US Joint Typhoon Warning Center (JTWC) sebelum ini meramalkan, Senyar berpotensi menjadi siklon tropika pertama dalam sejarah moden yang melakukan pendaratan di pantai barat Semenanjung Malaysia, melibatkan negeri-negeri Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

Menurut ramalan itu, Senyar akan mencatat dua rekod penting iaitu Siklon Tropika pertama dalam sejarah moden yang mendarat di pantai barat Semenanjung Malaysia.

Ia juga diramalkan sebagai Siklon Tropika kedua dalam sejarah Malaysia, selepas Taufan Vamei (2001) yang melanda Johor.

Fenomena sebegini dianggap sangat jarang berlaku kerana Selat Melaka kebiasaannya tidak mempunyai kondisi atmosfera dan laut yang menyokong pembentukan siklon tropika.

Sehubungan itu Perlis, walaupun bukan negeri tumpuan pendaratan, dijangka menerima tempias jika kejadian ini berlaku.

Dalam perkembangan di lapangan, Pejabat Menteri Besar Perlis mengoptimumkan operasi bantuan dan penyelamatan melibatkan semua agensi serta tenaga sukarelawan semalam.

Mohd Shukri sendiri turun padang bersama pegawai-pegawai khasnya ke beberapa kawasan yang terjejas dan berisiko.

Antara lokasi yang diziarahi dan diberi perhatian hari ini termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Santan, DUN Sena, DUN Simpang Empat dan DUN Indera Kayangan.

Turut bersama membantu dan menyelaras operasi ialah pasukan daripada Yayasan Amal Negeri (YAM), Khidmat Malaysia (KM), Jabatan Amal Malaysia (JAM) dan Muslim Care Malaysia (MC).

Ke semua pasukan ini memainkan peranan penting dalam pengagihan bantuan segera, evakuasi berisiko, serta pemantauan keselamatan di kawasan banjir.

Dengan perubahan cuaca yang masih tidak menentu dan risiko gelombang kedua yang semakin jelas, Mohd Shukri menyeru rakyat agar mengikuti maklumat rasmi daripada agensi kerajaan,mengelakkan kawasan berisiko tinggi ketika hujan lebat dan bersiap sedia untuk pemindahan sekiranya diarahkan.

Perlis kini kekal dalam mod kesiapsiagaan penuh, menantikan perkembangan terkini Senyar yang berpotensi menjadi fenomena paling signifikan dalam sejarah cuaca Malaysia di pantai barat Semenanjung.

“Keselamatan rakyat keutamaan kita. Kita bersedia, dan kita harap rakyat juga bersedia,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/11/2025

- Advertisement -