
KUALA LUMPUR: Dato’ Mumtaz Md Nawi mendedikasikan anugerah ‘Architect of Change – Women Who Shape The World’ yang diterimanya sebagai pengiktirafan buat seluruh pejuang wanita Islam dan ummah.
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa Muslimat PAS Malaysia itu berkata, anugerah berprestij daripada sayap Muslimat Jamaat-e-Islami Pakistan itu bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya adalah lambang perjuangan kolektif gerakan Islam.
“Saya kongsikan anugerah ini untuk semua pejuang wanita Islam, ia milik ummah. Sekurang-kurangnya saya boleh menjadi wakil lambang perjuangan semua.
“Detik ini menggamit rasa sayu dan syukur, lantas mengingatkan saya kepada perjuangan wanita Islam dan Muslimat PAS di Malaysia,” katanya mengulas mengenai penerimaan anugerah tersebut.
Anugerah itu disampaikan sempena Jamiat Islami Grand Annual Convention yang berlangsung di Lahore, Pakistan pada 23 November lepas.
Himpunan raksasa itu dihadiri beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat bersama lebih 500,000 peserta, termasuk 150,000 Muslimat yang menjadi saksi sejarah tersebut.
Mengulas lanjut, Mumtaz melahirkan rasa tergamam dan teruja apabila menjadi sebahagian daripada himpunan yang begitu besar, selain diberi peluang berkongsi pentas menyampaikan ceramah ringkas mengenai politik wanita Islam global.
Katanya, beliau sendiri tidak menyangka dipilih menerima anugerah bagi kategori Awards For High Achievers itu memandangkan calon-calon lain mempunyai latar belakang yang hebat.


“Apabila mendengar pencapaian (CV) penerima lain, saya rasa terharu dan kagum dengan imej, pendirian serta pencapaian wanita Islam seluruh dunia, sekaligus terasa kerdil dengan khidmat pencapaian sendiri.
“Namun, saya percaya ini adalah hasil kepatuhan kepada arahan jemaah yang memberi kepercayaan untuk saya bertanding dan berkhidmat bermula sebagai Ahli Dewan Negara (2006), Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (2013-2023) sehinggalah di Dewan Rakyat kini,” jelasnya.
Tambahnya, kejayaan dalam gerak kerja politik, pilihan raya, kebajikan dan khidmat masyarakat menuntut gabungan tenaga yang padu antara Muslimin dan Muslimat serta doa daripada jemaah.
Selain Mumtaz, anugerah tersebut turut membariskan tokoh wanita hebat antarabangsa iaitu Lauren Booth (United Kingdom), Fatima Hendricks (Afrika Selatan), Dr Fauziah Mohd Hasan (Malaysia), Nur Jannah Hulwani (Indonesia), Dr Samia Raheel Qazi (Pakistan) dan Nurunnisa Siddiqa (Bangladesh).
“Semoga amal bakti kita semua diterima Allah SWT,” ujarnya yang hadir dengan turut disertai Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Hubungan Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi pada himpunan itu.
Dalam pada itu, PAS merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jamaat-e-Islami Pakistan atas penganjuran Grand Convention yang penuh bermakna ini.
PAS dalam kenyataannya menyifatkan konvensyen ini bukan sahaja menjadi medan himpunan para pendukung perjuangan Islam, tetapi juga simbol kesungguhan Jamaat-e-Islami dalam memperkukuh agenda dakwah, kebajikan masyarakat, keadilan sosial dan pembangunan ummah di peringkat nasional serta antarabangsa.
“PAS menghargai hubungan persaudaraan yang sekian lama terjalin antara kedua-dua gerakan Islam ini.
“Kami percaya konvensyen besar ini akan terus membangkitkan semangat baharu dalam kalangan para pemuda, para pekerja NGO, para pendakwah dan semua lapisan masyarakat di Pakistan untuk bersama membina masa depan yang lebih adil, bermaruah dan sejahtera,” ujar kenyataan tersebut. – HARAKAHDAILY 27/11/2025













