
KALABAKAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Merotai, Hasan Haris menyampaikan ucapan penuh emosi pada Himpunan Munajat Perdana menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Hasan mengimbas perjalanan awal kempen yang bermula dengan usaha sendiri termasuk memasang poster dan bendera serta mengakui detik penamaan calon sebagai saat paling mendebarkan dalam hidupnya.
Beliau menekankan bahawa pencalonannya adalah amanah besar dan berharap rakyat bersama membantu beliau sama ada menang atau kalah.
“Saya takut jika saya menang, saya tak mampu menggalas tugas ini. Tapi saya gagahkan diri demi amanah ini. Jika saya menang, tolonglah saya, jika saya kalah, dukunglah saya,” katanya.
Dalam ucapannya, Hasan turut menggariskan tawaran PN Merotai yang memberi tumpuan kepada menaik taraf jalan kampung, liputan internet, bekalan air dan mitigasi banjir.
Katanya, PN Merotai juga komited menyediakan skim bantuan khusus kepada petani dan pekebun serta mobilisasi klinik bergerak ke kampung bagi manfaat warga emas, ibu mengandung dan OKU.
Hasan merakamkan penghargaan kepada jentera dari seluruh negara sambil menyeru semua untuk terus istiqamah memperkukuh gerak kerja menjelang hari pengundian.
Pada PRN ke-17 ini, Hasan berdepan tiga lagi calon di DUN Merotai yang mempunyai 26,179 pengundi berdaftar. – HARAKAHDAILY 27/11/2025











