Kos baiki paip bocor, atasi NRW cecah RM50 juta

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan membelanjakan sehingga RM50 juta setahun bagi membaiki paip bocor yang menjadi antara punca utama kadar air tidak berhasil (NRW) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, jumlah itu meningkat berbanding RM28 juta sebelum ini berikutan penggunaan sistem khas mengesan kebocoran, selain kenaikan kos barangan dan tenaga kerja.

- Advertisement -

Katanya, kebocoran paip di bawah tanah sukar dikesan kerana tidak kelihatan di permukaan sehingga menyukarkan usaha mengenal pasti lokasi sebenar.

“Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kini mempergiat usaha mengesan kebocoran dengan menggunakan peralatan khas serta menambah tenaga kerja bagi mempercepatkan kerja pembaikan.

“Walaupun kos pembaikan tinggi, kerja itu perlu disegerakan bagi mengurangkan kehilangan air dan memastikan bekalan sampai kepada pengguna,” katanya pada sidang media selepas Lawatan Kerja ke Tapak Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Chicha 2 di Pasir Hor, kelmarin.

Beliau berkata, penggantian kira kira 4,000 kilometer paip lama di seluruh Kelantan turut memerlukan kos tinggi iaitu sekitar RM1 juta bagi setiap kilometer bagi mengurangkan kadar NRW yang kini mencecah 55 peratus.

“Kita berharap dengan kerjasama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan AKSB, kadar NRW dapat diturunkan kepada sekitar 40 peratus menjelang 2030.

“Apabila paip lama diganti dan kehilangan air dapat dikurangkan, lebih banyak air terawat akan sampai kepada pengguna,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata, LRA Chicha 2 yang dijangka siap pada September depan mampu menambah bekalan air bersih sebanyak 20 juta liter sehari di beberapa kawasan di Kota Bharu.

Katanya, projek bernilai kira kira RM55 juta itu kini mencapai kemajuan 97 peratus dan air yang dihasilkan memenuhi piawaian Kementerian Kesihatan (KKM).

“Loji itu dijangka memberi manfaat kepada kira kira 10,000 akaun pengguna melibatkan kawasan Peringat, Jalan Pasir Puteh, Telipot, Pasir Hor, Mulong, Bandar Baru Tunjong, Salor dan Alor Duri yang sebelum ini berdepan masalah bekalan air,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/7/2026

- Advertisement -