Orang Asli antara ahli baharu sertai DHPP di Pahang

- Advertisement -

LIPIS: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) terus melakar sejarah baharu dalam landskap politik tanah air apabila merekodkan penyertaan rasmi daripada masyarakat Orang Asli, sekali gus memperkukuh agenda perpaduan serta mesej ‘PAS For All‘.

Penerimaan keahlian baharu itu dizahirkan menerusi penyerahan sebanyak 288 borang keahlian yang terdiri daripada masyarakat Cina, India dan Orang Asli kepada Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Yohanis Ahmad.

- Advertisement -

Majlis penyerahan borang berkenaan menjadi kemuncak kepada program Majlis Hi-Tea Bersama Kepimpinan DHPP Pusat dan Masyarakat yang berlangsung dalam suasana harmoni serta muhibah di Dewan Abdullah Sani, di sini pada 12 Julai lepas.

Ustaz Yohanis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar menyifatkan perkembangan tersebut sebagai bukti keyakinan rakyat semakin berkembang terhadap perjuangan parti yang inklusif.

“PAS sentiasa membawa pendekatan yang menenangkan suasana politik semasa. Kepimpinan PAS berteraskan integriti, bebas rasuah, mengutamakan kebajikan rakyat serta berlaku adil kepada semua,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian program tersebut.

Beliau turut mengimbau sejarah penubuhan sayap penyokong bukan Islam itu yang bermula sejak tahun 2010 dan memuji komitmen jentera kepimpinan peringkat Pusat serta negeri dalam membina organisasi yang semakin tersusun.

Majlis Hi-Tea Bersama Kepimpinan DHPP Pusat dan Masyarakat ini dianjurkan secara khusus oleh jentera DHPP Kawasan Kuala Lipis dengan kerjasama saf kepimpinan PAS tempatan.

Penganjuran program ini bertujuan untuk memperluas jaringan kerjasama, merapatkan jurang persefahaman, serta bertindak sebagai jambatan penyatuan sosiopolitik antara kepimpinan parti dengan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Ketua DHPP Pusat, Kumaresan Baby Kalidawson dalam ucapannya menyeru seluruh ahli dan penggerak sayap berkenaan di negeri ini agar melipatgandakan usaha bagi memantapkan struktur organisasi parti.

“DHPP di seluruh Pahang perlu terus bekerjasama dan memperkukuhkan organisasi demi mendekati masyarakat,” katanya yang turut meletakkan harapan agar gabungan berkenaan diberi mandat untuk mentadbir Negeri Pahang pada pilihan raya umum akan datang.

Pada majlis itu ahli-ahli yang hadir turut ditegaskan mengenai nilai perpaduan dan kualiti khidmat bakti kepada rakyat merupakan kunci utama dalam meraih kepercayaan undi.

Mereka sempat berkongsi memorandum sejarah perjuangan terdahulu yang menyaksikan keberkesanan sokongan rentas kaum terhadap parti berkenaan di negeri Pahang.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Cameron Highlands, Ustaz Mohd Nor Yasim dan YDP PAS Kawasan Lipis, Roslan Zainal Al Ahmadi.

Juga Naib Ketua DHPP Pusat, Surianarayanan Sannasy Naidu dan Setiausaha DHPP Pusat, Hareetaran Raman serta Ketua Penerangan DHPP Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan. – HARAKAHDAILY 14/7/2026

- Advertisement -