Bila kerajaan ‘berkompromi’, Melayu terpaksa ‘minta didengari’?

Kaum majoriti rakyat perlu kuasai politik, pimpin pentadbiran kerajaan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pemuda PAS Kedah menyeru rakyat untuk menyokong pembentukan kesatuan bangsa Melayu yang lebih kukuh bagi memastikan suara majoriti rakyat benar-benar diterjemahkan dalam pentadbiran negara.

Ketua Penerangannya, Ibrahim Ismail berkata, langkah tersebut amat penting bagi mengembalikan kekuatan politik rakyat majoriti supaya kerajaan mempunyai mandat lebih jelas untuk mempertahankan perkara telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Beliau menjelaskan bahawa penyatuan kuasa politik Melayu bukanlah bertujuan untuk membina tembok perkauman atau menolak kaum lain, sebaliknya ia merupakan satu keperluan demi keberkesanan sesebuah kerajaan dalam membawa aspirasi rakyat ke meja pembuat dasar.

“Politik bukan sekadar soal siapa duduk di Putrajaya. Politik adalah soal siapa menentukan dasar, siapa menetapkan keutamaan negara, dan siapa memastikan suara majoriti rakyat benar-benar diterjemahkan dalam pentadbiran.

“Jika kuasa politik semakin lemah, jangan terkejut apabila dasar yang lahir juga semakin jauh daripada aspirasi rakyat. Hari ini, ramai mula bertanya satu soalan yang cukup mudah.

“Bagaimana mungkin kaum majoriti di negara ini masih berasa seolah-olah mereka perlu sentiasa berkompromi dalam perkara yang selama ini menjadi asas pembinaan negara?” katanya.

Mengulas lanjut mengenai senario politik semasa, Ibrahim menyatakan bahawa landskap hari ini menyaksikan kerajaan dibentuk melalui gabungan kompleks sehingga melahirkan budaya kompromi yang menyebabkan sesuatu keputusan hilang keberanian.

Beliau berkata, pendekatan kerajaan yang terlalu berhati-hati dalam mengendalikan isu berkaitan agama, bahasa kebangsaan, institusi Raja-Raja Melayu serta agenda Bumiputera telah menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

“Rakyat melihat. Rakyat menilai. Apabila isu melibatkan agama, bahasa kebangsaan, institusi Raja-Raja Melayu atau agenda Bumiputera dibangkitkan, reaksi kerajaan sering dilihat berhati-hati sehingga menimbulkan persepsi bahawa suara majoriti tidak lagi diberikan keutamaan yang sewajarnya.

“Kalau majoriti pun terpaksa sentiasa meminta-minta supaya suara mereka didengari, maka di situlah rakyat berhak bertanya, siapakah sebenarnya yang sedang menentukan hala tuju negara?” tegas beliau.

Ibrahim turut menarik perhatian mengenai cabaran ekonomi yang dihadapi oleh golongan muda Melayu pada masa kini, terutamanya berkaitan kos sara hidup, peluang pekerjaan berkualiti, pemilikan rumah dan pembangunan keusahawanan.

Beliau menegaskan golongan muda hari ini semakin kritikal dan tidak lagi mudah terpedaya dengan retorik politik semata-mata, sebaliknya menuntut keberhasilan serta pelaksanaan dasar yang konsisten.

“Mereka tidak mudah percaya kepada slogan yang indah atau naratif yang viral. Mereka mahu hasil. Mereka mahu dasar yang konsisten. Mereka mahu kepimpinan yang berani membuat keputusan, bukan sekadar menjadi ‘juara sidang media’ tetapi sunyi apabila tiba masa mempertahankan kepentingan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan gagasan jajaran politik baharu berupaya menjadi titik permulaan kukuh untuk membina semula pentadbiran yang berani demi kepentingan negara tanpa mengabaikan hak kaum-kaum lain.

“Oleh sebab itu, kami menggesa rakyat bersatu dan menyokong pembentukan kesatuan bangsa Melayu yang lebih kukuh seperti yang direncanakan Tuan Guru Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/7/2026

- Advertisement -