
SEMALAM dan awal pagi tadi menyaksikan pertempuran terbesar antara Amerika Syarikat dan Republik Islam Iran semenjak termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara.
Tentera Amerika Syarikat mula melancarkan serangan udara ke atas Republik Islam Iran dengan mendakwa IRGC telah melancarkan serangan dron ke atas kapal komersial yang menyusuri Selat Hormuz yang dilakukan tanpa fasilitasi dan kebenaran daripada IRGC yang kemudiannya menyebabkan IRGC menutup sepenuhnya Selat Hormuz.
Tentera Amerika Syarikat melancarkan serangan udara bertali arus yang menyasarkan hampir 14 buah wilayah di Republik Islam Iran khususnya ke atas fasiliti ketenteraan milik IRGC dan Tentera Iran di Bandar Abbas, Bushehr, Ahvaz, Sirik, Minab dan Asaluyeh termasuk pelabuhan awam. Serangan yang dilancarkan ke atas Bushehr dilaporkan menyebabkan letupan berlaku amat hampir dengan loji janakuasa nuklear awam di Bushehr.
IRGC atau Tentera Iran dilaporkan melancarkan serangan balas besar-besaran yang menyasarkan fasiliti dan pengkalan Amerika Syarikat di Asia Barat antaranya di:
a. Pangkalan tentera udara Prince Hassan di Jordan yang menempatkan dron MQ-4C Triton yang bernilai USD240 juta.
b. Pangkalan tentera udara Al-Ubeid di Qatar.
c. Pangkalan tentera udara Sheikh Isa yang menjadi pusat baik pulih utama helikopter dan menempatkan hangar kapal terbang ‘electronic warfare’ P-8 tentera udara Amerika Syarikat.
d. Pusat bekalan, logistik dan pengisian bahan api tentera laut dan udara Amerika Syarikat di Duqm, Oman.
e. Ketumbukan sistem pertahanan udara Patriot, sistem radar dan depoh peluru di pangkalan tentera udara Ali Abdel Salam di Kuwait.
f. Pusat sistem komunikasi dan radar di Bahrain.
g. Ibu pejabat armada 5th Fleet tentera laut Amerika Syarikat di Bahrain.
Dalam masa sama, tentera penjajah rejim Zionis Israel melancarkan siri pengebom besar-besaran dan serangan artileri ke atas Semenanjung Gaza dan turut melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran di beberapa bandar utama di Tebing Barat antaranya Ramallah, Silwan dan Nablus.
Baru sebentar tadi, tentera Arab Saudi telah melancarkan serangan udara ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Sana’a dalam usaha menghalang kapal terbang awam syarikat penerbangan Republik Islam Iran yang membawa sekumpulan pemimpin Ansarullah dari Tehran selepas menghadiri upacara pengebumian Almarhum Ayatollah Ali Khamenei daripada mendarat. Kapal terbang tersebut bagaimanapun berjaya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hodeidah.
Berikutan serangan tersebut, pemimpin Ansarullah dan tentera Yaman (Ansarullah) menyatakan bahawa ia akan bertindakbalas ke atas Arab Saudi dengan jurucakap tentera Yaman (Ansarullah) Yahya Saree menyatakan tindakan tersebut menoktahkan fasa de-eskalasi dan Arab Saudi bertanggungjawab sepenuhnya akibat daripada serangan tersebut.
Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang sebelum ini menyatakan bahawa memorandum persefahaman (MoU) dengan Republik Islam Iran telah tamat, pada petang tadi telah menyatakan bahawa Amerika Syarikat akan menjadi ‘guardian’ kepada Selat Hormuz dan akan mengenakan tol.
Beliau juga turut menyatakan bahawa segala-galanya yang berada di Republik Islam Iran adalah milik Amerika Syarikat sama ada minyak, gas, emas dan bahan makanan, Amerika Syarikat akan mengambil kesemuanya.
“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”
DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk
27 Muharam 1448H / 13 Julai 2026 – HARAKAHDAILY 13/7/2026











