
BALING: PAS Kawasan Baling menzahirkan kesiapsiagaan jentera yang menjadi cerminan kepada kekuatan tarbiah yang dibina secara berterusan, sekali gus meletakkan organisasi pada tahap bersedia untuk menggalas amanah perjuangan pada bila-bila masa.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Baling Kali Ke-67 yang berlangsung dengan kehadiran lebih 1,000 perwakilan.
Menurut beliau, suasana mesyuarat yang berlangsung dalam keadaan tersusun, disiplin petugas tinggi, pasukan keselamatan berfungsi dengan baik serta kelancaran perjalanan program membuktikan bahawa PAS Kawasan Baling memiliki sebuah organisasi mantap dan berada pada tahap kesiapsiagaan maksimum.
“Apabila saya melihat kehadiran perwakilan yang memenuhi setiap ruang dewan, kesungguhan petugas melaksanakan amanah, disiplin pasukan keselamatan serta kelancaran pengurusan program, saya melihat sebuah jentera yang bukan sekadar bersedia untuk bermesyuarat, bahkan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa apabila amanah perjuangan memerlukan,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu turut menjelaskan mengapa PAS Kedah terus memperkukuhkan kedudukannya, termasuk di Baling yang suatu ketika dahulu merupakan kubu kuat lawan sebelum berjaya dimenangi PAS dengan majoriti 29,137 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Dalam ucapannya, beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah jamaah tidak hanya bergantung kepada strategi dan perancangan, sebaliknya mesti diasaskan kepada pembinaan iman, disiplin serta ketakwaan.
Beliau merujuk kepada wasiat yang masyhur dinisbahkan kepada Sayidina Umar al-Khattab ketika mengutus Sa’ad bin Abi Waqqas memimpin tentera Islam, yang mengingatkan bahawa takwa merupakan bekalan terbaik dalam menghadapi musuh.
Manakala turut diperingatkannha juga, kelemahan akhlak dan maksiat dalam saf pejuang lebih berbahaya daripada kekuatan pihak lawan di mana prinsip tersebut kekal relevan dalam membina kekuatan organisasi dan perjuangan Islam pada masa kini.
“Sesebuah jamaah yang dibina melalui tarbiah, diperkukuh dengan ukhuwah dan dipimpin oleh ketakwaan akan sentiasa memiliki kekuatan dalaman yang menjadi asas kepada setiap kejayaan,” ujarnya.
Beliau menyeru seluruh ahli agar terus memperkukuhkan ukhuwah, memelihara disiplin jamaah serta menjadikan tarbiah dan ketakwaan sebagai asas utama dalam meneruskan perjuangan Islam demi agama, bangsa dan negara. – HARAKAHDAILY 13/7/2026












