
SEHARI saya menanti dapatan paling penting dari analisa-analisa keputusan PRN Johor, namun hampa. Bagi saya, mereka terlupa menyebut satu rumusan yang paling penting dari keputusan PRN ini.
PAS hanya bertanding di 11 DUN. PAS dengan jelas, melalui Presidennya menegaskan PAS tidak mahu menentang BN, tetapi PAS hanya mahu membantu rakyat Johor mendapat pimpinan Melayu Islam. Hasrat kedua terpenting, PH mesti dikalahkan kerana jika PH berkuasa, DAP akan berkuasa.
Dua visi mudah dari Presiden PAS ini disebarkan kepada semua pengundi di Johor. Lalu disebabkan debaran melihat strategi PAS ini akan berjaya mengekalkan BN atau mungkin lebih besar jumlah kerusi yang bakal dimenangi oleh BN, maka PH mula melancarkan serangan terhadap kedua-dua mereka.
Isu yang dimainkan ialah PRN ini adalah untuk membebaskan Dato’ Sri Najib. Sedangkan ini adalah PRN, bukan PRU dan semua orang tahu, ia tidak berkait. Apa kuasa Kerajaan Johor untuk membebaskan Dato’ Sri Najib? Tidak terhenti di situ, serangan ‘Green Wave’ pula dilakukan oleh PH terhadap PAS. Dengan 11 kerusi dan bertanding bukan untuk memerintah Johor, apakah 11 kerusi itu boleh dianggap sebagai ‘wave’?
Tiba hari mengundi, satu persatu kerusi dimenangi BN. PAS hilang satu-satunya kerusi di Maharani. BERSATU hilang dua, walaupun di kubu kuat mereka. PH secara keseluruhannya gagal mempertahankan empat kerusi yang mereka pegang. ‘Green Wave’ dan isu Dato’ Sri Najib, tidak terpakai.
Statistik secara umum menunjukkan undi popular BN naik sekali ganda. Undi PERIKATAN NASIONAL turun hampir dua pertiga. Manakala undi bagi PH naik kira-kira 50 peratus. Bagi yang tidak memahami politik mereka akan membaca keputusan yang tersurat ini. PAS kalah teruk. Akan tetapi bacaan bagi hal yang tersirat, jarang diketahui.
Kenaikan besar undi yang diperolehi oleh BN ialah kerana sebahagian besar undi oleh penyokong PAS. Ini tuntas. Buktinya PAS hanya bertanding 11 kerusi, maka di 45 lagi kerusi, undi PAS telah diserahkan kepada BN sebagaimana arahan Presiden PAS.
Tanpa kita menafikan jumlah ini dicampur jumlah pengundi baharu yang mengundi BN serta juga pengundi dari PERIKATAN NASIONAL yang memberikan terus kepada BN. Ini termasuk dari kalangan pengundi BN yang merajuk dahulu, kembali kepada BN, maka BN memperolehi kenaikan ini.
Dalam PRN kali ini, tiada isu besar yang boleh membawa kepada gelombang peningkatan mendadak peratusan mengundi, hanya 67 peratus, 12 peratus lebih berbanding PRN lalu. Kenaikan sekitar 320,000 jumlah undi. Pun begitu kita kena bersetuju, bukan semua 320,000 undi itu pergi kepada BN.
Maka jelas dengan arahan Presiden PAS itu telah menaikkan undi popular BN. Apa dapatan yang penting di sini? Ahli PAS sangat taat kepada arahan pimpinan kendatipun ada cubaan menggagalkannya. Inilah asbab sebenar perancangan PAS untuk mempertahankan Johor terus kekal di bawah kepimpinan Melayu Islam berjaya.
Wala’ tiada dalam parti lain. Petugas-petugas PAS tetap bekerja sehingga habis masa mengundi dan disambung untuk kiraan undi sehingga selesai walaupun tahu PRN ini bukan untuk PAS menang, tetapi memenuhi arahan Presiden PAS yang disayangi untuk kepentingan Melayu Islam.
Oleh sebab itu dalam merancang, membaca statistik, PAS sentiasa meletakkan ‘bantuan dari Allah’ sebagai salah satu sebab utama untuk berjaya. Bagi mendapatkan bantuan Allah itu pula semestinya ketaatan kepada Allah, Rasul dan kepimpinan wajib ditunaikan. Kami dengar dan kami taat, ikrar pejuang PAS.
Tahniah kepada semua petugas PAS yang taat. Tujuan utama PAS untuk membenamkan PH tercapai di Johor. Kita cari pahala, tidak kisah dengan jumlah kerusi.
MOHD NASIR ABDULLAH
13 Julai 2026 – HARAKAHDAILY 13/7/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











