MP PN buka lembaran bersama tokoh korporat Cina

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) melakar sejarah baharu dalam hubungan rentas kaum menerusi penganjuran Sidang Meja Bulat dan Hi-Tea Perpaduan PN yang berlangsung di Mama Medan, Cheras, di sini semalam.

- Advertisement -

Program mengetengahkan paradigma baharu politik-perniagaan itu dihadiri oleh barisan Ahli Parlimen PN serta 20 tokoh korporat dan peneraju perniagaan terkemuka daripada komuniti kaum Cina.

Dr Halimah Ali berkata, perhimpunan tersebut bukan sekadar pertemuan sosial biasa, sebaliknya menjadi ruang dialog penting demi membina masa depan negara berasaskan kepercayaan dan kerjasama rentas kaum serta agama.

Pengerusi Portfolio Perpaduan Negara Ahli Parlimen PN itu turut memetik peribahasa Cina, Hé qì shēng cái (keharmonian membawa kemakmuran) dan Chéng xìn wéi běn (integriti adalah asas) bagi menggambarkan peri pentingnya kestabilan sosiopolitik terhadap pertumbuhan ekonomi.

“Pelabur bukan sahaja mencari insentif cukai, tetapi mereka mencari kestabilan, kerajaan yang boleh dipercayai, institusi yang telus dan masyarakat yang hidup aman damai. Tiada negara boleh mencapai kemajuan ekonomi mampan jika masyarakatnya berpecah atau institusinya lemah.

“Sebab itu perpaduan dan integriti bukan sekadar nilai moral, tetapi ia adalah aset ekonomi,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur program tersebut.

Program dengan kerjasama wakil komuniti perniagaan ini diadakan sebagai salah satu inisiatif strategik gabungan itu untuk mendekati golongan ekspatriat, tokoh korporat, dan pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bukan Melayu.

Langkah ini diambil bagi memperbetul persepsi serta stereotaip pasaran pasca-pilihan raya terhadap dasar-dasar ekonomi PN, di samping membina jambatan komunikasi terus antara pembuat dasar gabungan tersebut dengan komuniti perniagaan domestik.

Dalam pada itu, Dr Halimah turut memberi penjelasan terbuka bagi meredakan kebimbangan komuniti perniagaan terhadap imej PAS yang menganggotai gabungan PN.

“PAS percaya kuasa adalah amanah. Kepimpinan bukan peluang untuk memperkayakan diri, tetapi tanggungjawab berkhidmat kepada rakyat.

“Budaya integriti, kesederhanaan, dan penolakan rasuah ini memberi makna praktikal kepada komuniti perniagaan iaitu persaingan adil, peraturan jelas, kelulusan telus, dan kos transaksi lebih rendah,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Kapar.

Beliau turut berkongsi model pembangunan empat negeri ditadbir PN (SG4) yang memfokuskan kepada keterjaminan makanan, teknologi pertanian, tenaga boleh diperbaharui, dan ekonomi halal yang dirancang untuk memberi manfaat secara inklusif kepada semua kaum.

“Apabila ekonomi berkembang, semua komuniti tanpa mengira kaum sepatutnya mendapat manfaat. Hari ini bukan hari untuk berdebat, hari ini adalah hari untuk membina jambatan,” katanya lagi sambil memetik pepatah lama, Hǎi nà bǎi chuān, yǒu róng nǎi dà membawa maksud laut menjadi luas kerana ia menerima semua aliran sungai.

Pegawai Parlimen Kapar merangkap Ketua Publisiti Portfolio Perpaduan Negara Ahli Parlimen PN, Dr Shawn Loh Sheng Nian dalam pada itu turut menyaksikan perbincangan interaktif mengenai pemerkasaan sektor ekonomi.

Dr. Shawn Loh mengemukakan beberapa cadangan membina bagi memacu agenda pendigitalan PKS secara inklusif untuk semua kaum.

Gagasan dan usul tersebut disambut baik oleh Ahli Majlis Tertinggi PN merangkap Naib Presiden PAS, Datuk Haji Idris Ahmad yang merasmikan program berkenaan.

Beliau memuji jalinan strategik ‘enjin kembar’ tersebut dalam menyatukan modal domestik serta keyakinan pasaran komuniti Cina bagi merancakkan semula ekonomi negara melalui disiplin kewangan yang ketat dan kestabilan rantaian bekalan.

Antara pemimpin utama yang turut hadir memberikan sokongan termasuk Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari; Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun.

Juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim; Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi. – HARAKAHDAILY 13/7/2026

- Advertisement -