Pakar wanita PAS berpadu perkasa agenda negara

- Advertisement -

BANGI: Konvensyen Wanita Profesional 2026 sebagai platform memperkukuh jaringan kepakaran, kepimpinan dan gerak kerja wanita profesional dalam PAS telah berlangsung di Bangi Golf Resort, di sini kelmarin.

Penasihat HALWA, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan telah merasmikan konvensyen anjuran Muslimat Profesional Selangor (MPro) yang disertai sekitar 160 wanita daripada pekbagai latar belakang profesional.

- Advertisement -

Mengangkat tema kepimpinan dan pembangunan wanita profesional, pengisian utama konvensyen sehari itu disampaikan pengamal undang-undang, Mardhiyyah Johari dan bekas pensyarah, Ustaz Nushi Mahfodz.

Sebanyak 11 kluster profesional merangkumi pelbagai bidang kepakaran dikenal pasti dalam kalangan peserta termasuk perubatan, pendidikan, perundangan, kejuruteraan, sains, teknologi, keusahawanan dan sektor-sektor profesional lain.

Sepanjang konvensyen, para peserta diberi penekanan bahawa wanita profesional mempunyai tanggungjawab yang lebih besar daripada sekadar mencapai kecemerlangan dalam kerjaya.

Sebaliknya, kepakaran yang dimiliki perlu diterjemahkan kepada khidmat kepada masyarakat, pembangunan dasar, pendidikan, ekonomi, kesihatan serta pembinaan negara berteraskan nilai Islam.

Dua mesej utama yang menjadi intipati konvensyen ialah atau kepimpinan kolektif, yang menekankan budaya bekerja secara berjemaah dan saling memperkasa.

Termasuk bagi Memaksimumkan Kebolehan Membuat Pilihan, iaitu membentuk wanita profesional yang berilmu, berprinsip dan mampu membuat keputusan terbaik demi agama, masyarakat dan negara.

Konvensyen turut menjadi platform membina jaringan kerjasama rentas kepakaran dalam kalangan ahli MPro yang dijangka menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai program pembangunan masyarakat secara lebih tersusun dan berimpak.

Ketua MPro, Dr Wani Abi Dzarr menyifatkan objektif konvensyen telah berjaya dicapai apabila peserta berjaya membina hubungan strategik yang bakal memperkukuhkan gerak kerja wanita profesional pada masa hadapan.

Katanya, Malaysia memerlukan lebih ramai wanita profesional yang bukan sahaja memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing, malah mempunyai integriti, keikhlasan, daya tahan dan semangat kepimpinan untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negara. -HARAKAHDAILY 13/7/2026

- Advertisement -