
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu memperkukuh strategi menarik pelaburan berimpak tinggi dengan memfokuskan pembangunan tiga kawasan perindustrian utama iaitu Kertih, Telok Kalong dan Gong Badak mengikut sektor strategik masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, usaha itu disokong melalui promosi pelaburan secara berterusan serta penambahbaikan infrastruktur di kawasan perindustrian sedia ada.
Menurut beliau, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) diberi tanggungjawab mengurus dan mempromosikan tanah industri di seluruh negeri termasuk di Telok Kalong dan Gong Badak, manakala kawasan industri di Kertih diuruskan oleh TI Properties melalui pihak ketiga.
“Pelbagai aktiviti promosi dan sesi libat urus bersama pelabur dilaksanakan dari semasa ke semasa, termasuk penyertaan dalam ekspo dan pameran seperti Selangor Investment and Industrial Park Expo (SPARK) 2025 serta International Greentech and Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Husaimi Hussin (PAS-Hulu Besut) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Nurkhuzaini berkata, kerajaan negeri turut menetapkan fokus pembangunan yang berbeza bagi setiap kawasan industri untuk memastikan pertumbuhan ekonomi lebih tersusun dan berdaya saing.
Katanya, Kertih ditetapkan sebagai hab industri berintensif tenaga dan industri hiliran, manakala Telok Kalong memberi tumpuan kepada industri berat, perkapalan dan logistik.
“Gong Badak pula difokuskan kepada pembangunan industri halal dan pembuatan ringan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada aspek infrastruktur bagi meningkatkan daya tarikan kawasan perindustrian berkenaan.
Katanya, kerajaan negeri telah memohon peruntukan sebanyak RM2.61 juta daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi melaksanakan projek menaik taraf kemudahan asas di beberapa kawasan perindustrian terpilih pada tahun depan.
“Cadangan projek meliputi kerja menaik taraf jalan dan sistem perparitan di kawasan perindustrian yang terpilih di negeri ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/7/2026











