
KOTA BHARU: Yayasan Islam Kelantan (YIK) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Dongyang Mirae University (DMU), Republik Korea, bagi memperluaskan peluang pendidikan dan latihan kemahiran bertaraf antarabangsa kepada pelajar dari negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, majlis menandatangani MoU itu berlangsung sempena lawatan kerja delegasi Kerajaan Negeri Kelantan ke Republik Korea yang bermula Khamis lalu.
Menurutnya, delegasi berkenaan diketuai Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Turut mengiringi lawatan itu Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Tuan Haji Shamsul Abu Bakar.
Katanya, ketibaan delegasi disambut Presiden Dongyang Mirae University, Kim Kyo Il bersama barisan pengurusan tertinggi universiti berkenaan.
“Melalui kerjasama strategik ini, seramai 10 pelajar Kelantan akan dihantar mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Dongyang Mirae University bermula September depan.
“Universiti itu turut menyediakan kemudahan penginapan secara percuma kepada semua pelajar dari Kelantan yang mengikuti pengajian di sana,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, bagi membantu meringankan beban kewangan pelajar, Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) akan menyediakan kemudahan pinjaman boleh ubah kepada mereka yang terpilih.
Menurutnya, Dongyang Mirae University menawarkan pendekatan pembelajaran yang menggabungkan aspek teori, latihan praktikal dan pendedahan industri.
Jelasnya, hal tersebut sekali gus selari dengan hasrat kerajaan negeri melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Dalam lawatan ini, delegasi turut berpeluang meninjau sendiri kemudahan pembelajaran serta penginapan yang disediakan kepada bakal pelajar Kelantan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Alumni Graduan Institusi Korea Kebangsaan (AGIKO) atas peranan penting dalam menjayakan kerjasama strategik antara YIK dan Dongyang Mirae University.
“Alhamdulillah, semoga usaha ini memberi manfaat yang besar kepada rakyat Kelantan khususnya para pelajar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/7/2026












