Kerajaan gagal tangani isu semasa – TG Abdul Hadi

- Advertisement -

KUALA NERUS: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, kerajaan lebih dilihat gagal dan tidak berupaya menangani pelbagai isu semasa berbanding pembangkang.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang melabel pembangkang sebagai tidak berguna, tidak kompeten serta gagal menangani isu-isu penting.

- Advertisement -

Menurut Tuan Guru, kelemahan sebenar terletak pada pihak kerajaan yang sehingga kini masih gagal menyelesaikan masalah utama rakyat termasuk pengangguran.

“Yang lebih tidak berguna adalah kerajaan. Keadaan sekarang menunjukkan mereka tidak mampu menghadapi isu-isu terkini, termasuk kegagalan menyelesaikan masalah pengangguran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan Kuliah Dhuha sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Terengganu, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut membangkitkan isu pelaksanaan konsep federalisme yang menurutnya tidak dihormati oleh kerajaan.

Katanya, tindakan meminggirkan peranan pembangkang bercanggah dengan semangat federalisme serta tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Konsep federalisme mesti dihormati, tetapi apa yang berlaku sekarang tidak begitu. Pembangkang dipinggirkan dan ini bukan amalan yang selaras dengan Perlembagaan,” ujarnya.

Terdahulu, bekas Menteri Kesihatan itu menyifatkan pembangkang merupakan yang paling tidak berguna, menyorot beberapa isu tempatan dan luar negara yang menurutnya seharusnya diketengahkan pembangkang. – HARAKAHDAILY 3/4/2026

- Advertisement -