Kelantan sasar NRW turun 40 peratus

- Advertisement -

PASIR MAS: Kerajaan Kelantan menyasarkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) dapat dikurangkan sehingga sekitar 40 peratus menjelang tahun 2030 bagi memastikan bekalan air lebih stabil kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, pengurangan NRW kini menjadi fokus utama Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

- Advertisement -

Katanya, kapasiti pengeluaran air negeri dijangka meningkat sehingga 850 juta liter sehari menjelang 2030 apabila semua loji rawatan air baharu siap sepenuhnya.

“Masalah utama kita sekarang bukan lagi kapasiti loji tetapi NRW. Kalau NRW tinggi, air yang sampai kepada pengguna tetap berkurangan walaupun pengeluaran air meningkat,” katanya kepada selepas lawatan ke tapak LRA Kelar 2. di sini, hari ini.

Menurutnya, NRW ketika ini berada sekitar 55 peratus dan kerajaan negeri menyasarkan pengurangan secara berperingkat.

Tambah beliau, antara punca utama NRW ialah kebocoran paip, kelewatan pembaikan, sambungan haram dan penggunaan lori tangki air.

“Kita sudah arahkan pasukan khas mengesan kebocoran dan pembaca meter juga diminta terus melaporkan kebocoran kepada AKSB.

“Kalau ada paip bocor, tekanan air akan turun dan menyebabkan kawasan hujung paip tidak menerima bekalan,” ujarnya lagi.

Beliau turut meminta rakyat membantu melaporkan kebocoran kepada AKSB termasuk menghantar gambar dan lokasi bagi mempercepatkan tindakan.

Mengulas lanjut, Izani menjelaskan bahawa kerajaan negeri kini memberi tumpuan serius kepada penggantian paip lama yang melibatkan lebih 4,000 kilometer di seluruh Kelantan.

“Kita jangka menjelang 2030 masalah bekalan air besar dapat diselesaikan dan hanya tinggal kerosakan kecil sahaja,” katanya.

Beliau turut mempertahankan usaha kakitangan AKSB yang disifatkan bekerja siang malam memastikan bekalan air sampai kepada pengguna.
“Saya harap rakyat faham anak-anak AKSB bekerja keras setiap hari untuk memastikan masalah air dapat diatasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/5/2026

- Advertisement -