‘Hangpa nak bawa aktiviti di Phuket mai ke Langkawi ka?’

- Advertisement -

ALOR SETAR: Langkawi tidak berdosa, namun kini sedang dihujani dengan pelbagai ‘spekulasi‘ yang mendakwa kononnya lembab, lesu dan tidak bermaya, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau mengakui dapat mengagak ada sebab tertentu Kerajaan Persekutuan begitu teruja ‘menghentam’ Kerajaan Negeri dan menunjukkan minat ingin menjadikan pulau berkenaan salah satu ‘jajahan’ mereka.

- Advertisement -

Dok timbul yang bukan-bukan pasal Langkawi ini bukan provokasi biasa. Ada sebab tertentu. Saya tau. Kalau Langkawi masuk Federal, pelantar minyak di Langkasuka akan jadi milik mereka.

“Kalau kita tengok data dan fakta, Langkawi bukan ada dosa apa-apapun. ‘Steady’ macam biasa. Berlaku peningkatan pelancong bukan sahaja dalam negara tetapi juga luar negara,” kata beliau di Kompleks PAS Kedah, semalam.

Sanusi menegaskan, apabila beliau mendesak agar Langkawi dikembalikan semula statusnya sebagai pulau bebas cukai, tiba-tiba pemimpin Kerajaan Madani, jadi ‘sakit’ kerana kedudukan itu akan menarik lebih ramai pengunjung ke pulau tersebut.

“Bila kita cadang suruh buka balik pulau bebas cukai, depa sakit. Tau pasal apa? Sebab depa main isu dan bina naratif pelancongan di Langkawi lembab dan lesu. Tapi bila status bebas cukai dikembalikan, pulau itu akan kembali meriah dan dikunjungi pelancong,” jelasnya.

Tidak cukup itu sahaja ujar beliau, ada pihak cuba nak bandingkan Langkawi dengan Phuket, Bali, Hawaii dan lain-lain kononnya berjaya menjadi pilihan pelancong antarabangsa.

“Semua tu, nak bina naratif kononnya kelemahan Kerajaan Negeri. Awat hangpa nak bawa masuk orang-orang tak pakai baju mai Langkawi ka?

“Kita tak mahu macam tu, kita ada budaya kita, kita ada tradisi kita, kita jual Langkawi sebagai pulau di Malaysia bukan di Hawaii, bukan di Thailand dan bukan juga di Indonesia,” tegasnya.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu lagi, Phuket bukan pulau sebaliknya ia bersambung dengan tanah besar, Segenting Kra dan boleh dikunjungi melalui jalan darat.

Ujarnya, kapal-kapal mewah yang berlabuh di Phuket dijadikan tempat berjudi, malah di atas itu terdapat industri seks, hiburan, disko, minuman keras, pondan dan lain-lain.

“Semua tu ada di Phuket, takkan kita nak bawa semua tu ke Langkawi? Semua itu Tuhan marah. Buat apa kita hidup kalau tak ada moral. Kita bagi angka peningkatan pelancong di Langkawi (11.2 peratus – 2025), depa nak juga banding peningkatan di Phuket.

“Angka peningkatan tu sama ja jumlah dengan peningkatan pelancong ke Malaysia. Kenapa depa tak sebut Malaysia tetapi sebut Langkawi?” soalnya bertubi-tubi.

Kata Sanusi, adalah lebih baik, Kerajaan Persekutuan bercakap berkenaan pelancongan di Malaysia daripada memberi fokus yang melampau kepada Langkawi, sedangkan peningkatan kemasukan pelancong ke Malaysia, sama jumlah dengan pulau berkenaan.

“Kenapa tang Langkawi jadi hodoh, Malaysia tak hodoh ka? Kalau Langkawi lembab, Malaysia tak lembab ka? Semua tu, saja nak cakap, bagi nampak kita buruk, Kerajaan Negeri lemah,” bidas beliau lagi.

Dalam pada itu katanya, semua pendapatan dari hasil cukai industri dan pelancongan masuk ke kantung Kerajaan Persekutuan, bukan kepada Kerajaan Negeri.

Malah penduduk tempatan (Langkawi) ujar beliau, hanya menjalankan perniagaan kedai makan dan lain-lain, manakala hotel-hotel yang banyak di pulau itu milik orang luar.

“Hangpa ingat hotel lima, enam, tujuh bintang tu, orang Langkawi punya ka. Orang langkawi mungkin ada motel atau homestay. Yang mewah-mewah tu, pelabur antarabangsa luar negara yang punya, bukan orang tempatan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 11/5/2026

- Advertisement -