
KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan isu peruntukan dan hasil negeri sebagai kurang cermat serta tidak wajar.
Ketua Penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, titah Tengku Mahkota Pahang dibuat atas asas kebimbangan terhadap kepentingan rakyat serta masa depan negeri itu yang kaya dengan sumber alam namun masih berdepan pelbagai isu pembangunan dan keperluan asas.
“Titah baginda tersebut seharusnya diraikan dengan penuh hormat serta dijawab secara berhemah oleh Kerajaan Persekutuan yang diterajui Umno-PH, bukannya dengan nada yang boleh ditafsirkan sebagai memperlekeh pandangan institusi diraja negeri.
“Kenyataan PMX bahawa Tengku Mahkota patut faham juga tentang makro bahawa peruntukan ke negeri Pahang itu besar, bukan kecil amat tidak wajar diungkapkan dalam konteks menjawab titah seorang pewaris institusi diraja.
“Sebagai seorang Perdana Menteri, beliau sewajarnya lebih berhati-hati dalam memilih kata-kata agar tidak mencetuskan persepsi ketegangan antara kerajaan pusat dan institusi diraja,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Tengku Hassanal menzahirkan kebimbangan terhadap keadilan undang-undang Persekutuan yang disifatkan tidak memihak kepada hak negeri Pahang.
Baginda bertitah, kerajaan pusat perlu lebih cakna terhadap titah dan kepentingan negeri itu termasuk dalam soal hasil negeri, bidang kuasa serta pelaksanaan pembangunan.
Menurut Baginda, Pahang bukan sekadar negeri terbesar di Semenanjung Malaysia, malah antara empat negeri terawal membentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia.
Titah Baginda, hasil Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ketika itu disalurkan kembali mengikut kesesuaian keempat-empat buah negeri berkenaan.
Sehubungan itu, baginda berharap Kerajaan Persekutuan memberi keutamaan sewajarnya kepada Pahang atas pengorbanan besar negeri itu dalam memelihara kawasan hutan, biodiversiti, flora dan fauna serta kawasan tadahan hujan yang menjadi tunjang kestabilan ekosistem negara.
Dalam pada itu, Tengku Hassanal turut melahirkan rasa kecewa apabila usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan hasil melalui eksport pasir sungai tidak lagi dibenarkan kerajaan pusat.
Titah Baginda, Pahang mempunyai sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia yang memerlukan kerja pengeluaran mendapan pasir bagi memastikan kelancaran aliran sungai serta mengelakkan risiko banjir. –
Azlan berkata, isu utama yang dibangkitkan bukan sekadar jumlah peruntukan, sebaliknya membabitkan soal keadilan pengagihan hasil, hak negeri pengeluar sumber dan keutamaan pembangunan yang benar-benar dirasai rakyat.
“Pahang merupakan negeri yang menyumbang hasil besar kepada negara melalui sektor perlombongan, perhutanan, perladangan dan pelbagai sumber asli lain.
“Maka adalah munasabah apabila rakyat dan institusi negeri menuntut agar pulangan kepada negeri ini setimpal dengan sumbangan yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan pusat tidak boleh hanya bermain dengan angka peruntukan tanpa menjelaskan sejauh mana manfaat sebenar diterima rakyat di akar umbi, terutama ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, isu bekalan air, pembangunan luar bandar dan peluang ekonomi anak muda.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya sentiasa memelihara adab terhadap institusi diraja sebagaimana termaktub dalam semangat Perlembagaan dan budaya masyarakat Melayu Islam di negara ini.
“Kerajaan Persekutuan seharusnya mengambil pendekatan lebih matang, profesional dan merendah diri dalam memberi respons terhadap pandangan serta titah pihak istana, lebih-lebih lagi apabila ia menyentuh kepentingan rakyat dan negeri.
“Di mana suara Pemuda UMNO Pahang? Dimana suara Pemuda PH Pahang?
“Jangan kalian menjadi bacul dan dangkal apabila institusi diraja Pahang diperlekeh sebegini rupa.
“Pahang bukan meminta ihsan, tetapi menuntut hak yang sewajarnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/5/2026











