
KOTA BHARU: Kelayakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak termasuk dalam syarat akademik yang diiktiraf bagi kemasukan ke program Asasi di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, perkara itu ditegaskan pihak kolej universiti susulan isu berkaitan kelayakan UEC bagi kemasukan ke program berkenaan.
Menurutnya, sehingga kini kelayakan UEC tidak termasuk dalam syarat kelayakan akademik yang diiktiraf untuk kemasukan ke program Asasi KIAS.
“Berdasarkan syarat kemasukan yang dipaparkan pihak KIAS, program Asasi terbuka kepada calon yang memiliki kelayakan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan lain yang setaraf dan diiktiraf.
“Sehubungan itu, calon yang hanya memiliki kelayakan UEC tidak layak dipertimbangkan bagi kemasukan ke program Asasi KIAS,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, sebarang perubahan dasar atau syarat kemasukan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi kolej universiti dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman rasmi KIAS atau menghubungi Unit Kemasukan Pelajar institusi berkenaan. – HARAKAHDAILY 16/5/2026




















