Iktiraf UEC buka pintu malapetaka – Dewan Ulamak PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat membidas sekeras-kerasnya sikap serta kecelaruan kerajaan berhubung isu kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

- Advertisement -

Ketua Penerangan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Mohd Nor Hamzah menyifatkan keputusan Kabinet pada Khamis lalu sebagai bukti pentadbiran negara tidak mempunyai hala tuju dasar yang jelas dan hanya bertindak semberono.

Beliau menegaskan, sebarang bentuk pengiktirafan terhadap sijil berkenaan bukan sahaja bercanggah dengan semangat Dasar Pendidikan Kebangsaan, malah bakal membuka ‘pintu malapetaka’ buat masa depan negara.

“Tindakan cuba menyelitkan dan mencampuradukkan pengiktirafan UEC bersama-sama dengan lepasan institusi tahfiz adalah satu helah kosmetik yang sangat dangkal.

“Langkah mengiktiraf sistem yang meminggirkan dasar kebangsaan pastinya membawa mafsadah (kerosakan) yang jauh lebih besar kepada kerukunan hidup bermasyarakat dan kelestarian identiti negara berbanding sedikit manfaat politik yang cuba diraih oleh pihak tertentu,” katanya.

Mohd Nor berkata, realiti hari ini menunjukkan sistem pendidikan pelbagai aliran telah gagal menjadi medium penyatuan rakyat dari peringkat akar umbi.

Beliau menyifatkan kegagalan memperkasakan Bahasa Kebangsaan di sekolah aliran jenis kebangsaan telah melebarkan jurang sosial serta menggagalkan usaha asimilasi kaum.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat, badan bukan kerajaan (NGO) dan cendekiawan untuk bersatu menentang cadangan berkenaan bagi mengelakkan sistem pendidikan negara dirosakkan oleh percaturan politik sempit.

“Jangan gadaikan masa depan kedaulatan identiti negara hanya kerana tunduk kepada tekanan rakan politik tertentu. Sekiranya kerajaan tetap berdegil melaksanakan agenda dari pihak-pihak tertentu ini, satu gerakan selaras undang-undang mesti diambil terhadap keputusan yang membelakangkan perlembagaan ini,” tegas beliau.

Pengiktirafan UEC, iaitu sijil peperiksaan bagi sekolah menengah persendirian Cina, kembali panas selepas Kabinet dilaporkan meluluskan kemasukan pemegang sijil itu ke IPTA secara bersyarat.

Keputusan ini dibuat di tengah-tengah desakan berterusan daripada rakan sekutu dalam kerajaan yang ingin menunaikan manifesto pilihan raya mereka, namun mengundang kritikan hebat daripada pelbagai pihak yang mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Hujah paling nyata adalah UEC tidak menggunakan kurikulum kebangsaan dan tidak menekankan penguasaan bahasa Melayu, sekali gus mencabar Akta Pendidikan 1996 dan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai alat penyatuan nasional.

Sebagai ‘pengimbang’, kerajaan cuba menyetarakan laluan kemasukan ini dengan graduan institusi tahfiz, namun langkah tersebut ditentang hebat oleh pelbagai pihak dan pejuang bahasa yang melihatnya sebagai cubaan mengaburi mata rakyat. – HARAKAHDAILY 16/5/2026

- Advertisement -