
KUALA LUMPUR: Menerima lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke IPTA adalah titik bermulanya kerosakan besar terhadap falsafah pendidikan nasional dan struktur integrasi negara.
Prof Dr Haim Hilman Abdullah menyifatkan keputusan Kabinet tersebut sebagai merobohkan sistem pendidikan nasional yang dilakukan demi keuntungan politik tidak bermaruah.
Menurutnya, kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat kepujian dalam Bahasa Melayu dan lulus mata pelajaran Sejarah itu bukan isu teknikal kemasukan ke universiti.
Tetapi isu ini tegas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang juga bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia itu, adalah mengenai masa depan sistem persekolahan kebangsaan.
Beliau kata, ia juga merupakan harga yang perlu dibayar rakyat Malaysia khususnya pendukung sistem pendidikan nasional apabila negara diterajui oleh pemimpin politik jalanan.
“Hari ini mungkin alasan diberikan hanya untuk program berkaitan bahasa Cina. Tetapi sejarah kerap membuktikan iaitu setiap kelonggaran diberikan atas nama ‘pengecualian kecil’ akhirnya akan berkembang menjadi tuntutan lebih besar.
“Apa yang bermula dengan satu pintu kecil akan menjadi pintu utama yang meruntuhkan keseluruhan benteng pendidikan nasional,” tegasnya beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.
Dr Haim Hilman memaklumkan, Malaysia sudah memakai sistem pendidikan kebangsaan jelas di mana negara mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai standard nasional yang diiktiraf seluruh negara.
Pelajar pelbagai kaum ujarnya, sama ada Melayu, Cina, India, Siam, Orang Asli, Sabah dan Sarawak serta lain-lain, menduduki sistem yang sama, untuk membina identiti negara iaitu asas perpaduan nasional.
Menurutnya lagi, apabila UEC diterima masuk ke IPTA, mesej yang dihantar sangat bahaya, iaitu bermulalah era tanpa berada dalam arus pendidikan nasional sepenuhnya, tetapi masih boleh diterima masuk ke IPTA.
“Pelajar, pejuang dan pendukung aliran UEC ini tamak dan mementingkan diri. Mereka menolak sistem pendidikan nasional di peringkat sekolah menengah tetapi kemudiannya mahu hak dan tempat di IPTA.
“Ini juga tamparan besar kepada pelajar Cina sendiri yang selama ini memilih Sekolah Kebangsaan (SK) atau Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), menerusi laluan SPM.
“Mereka mengikuti sistem nasional, mengambil silibus kebangsaan, menduduki peperiksaan kebangsaan, bersaing secara sah dalam kerangka negara.
“Tetapi akhirnya ruang mereka pula diambil oleh sistem yang sejak awal memilih berada di luar arus nasional,” tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu lagi.
Dr Haim juga mempersoalkan justifikasi moral dan nasional di sebalik perkara tersebut yang dilihat telah hilang harga diri, prinsip serta maruah oleh para Menteri Kabinet dalam membuat keputusan itu.
Bidasnya lagi, mereka sanggup menghumbankan aspirasi pendidikan nasional hanya semata-mata untuk meraih keuntungan politik secara tidak bermaruah.
Sedangkan, pelajar Cina dalam aliran nasional telah membuat keputusan untuk bersama sistem negara dan sanggup menanggung tekanan peperiksaan nasional, standard dan persaingannya.
“Tiba-tiba, mereka pula perlu berebut tempat di IPTA dengan sistem peperiksaan yang tidak berada dalam kerangka pendidikan kebangsaan. Ini bukan soal anti-Cina. Ini soal keadilan kepada rakyat Malaysia yang memilih sistem nasional.
“Lebih membimbangkan, kemasukan UEC ke IPTA akan mencipta insentif besar untuk lebih ramai meninggalkan arus pendidikan nasional.
“Butakah mata dan hati para Menteri PH-UmDAP? Persoalannya jelas iaitu mengapa perlu berada dalam sistem kebangsaan jika akhirnya laluan alternatif juga mendapat hak yang sama?” soal beliau lagi.
Kesan kepada pelaksanaan ini tegasnya, bukanlah kecil di mana lama-kelamaan sistem pendidikan nasional akan kehilangan autoriti dan perlahan-lahan SPM akan hilang nilai sebagai standard utama negara.
Selain itu kata beliau, di kala integrasi nasional dilihat semakin lemah, polarisasi pendidikan akan menjadi lebih parah dan besar kemungkinan Sekolah Kebangsaan akan semakin ditinggalkan.
Negara katanya dengan penuh kebimbangan, akan melahirkan generasi yang hidup dalam kelompok sistem masing-masing tanpa asas nasional sebenar dan kukuh.
“Ini bom jangka panjang kepada negara. Lebih malang lagi apabila Kabinet PH-UmDAP cuba memperbodohkan rakyat yang kononnya pelajar tahfiz juga akan mendapat manfaat seperti UEC. Ini hujah terdesak dan tidak jujur.
“Pelajar tahfiz berada dalam kerangka pendidikan negara dengan cara mengambil SPM iaitu mengikuti kurikulum kebangsaan dan sebahagian besar institusi tahfiz sedang melalui proses integrasi nasional.
“Sebagai contoh, Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) tidak pernah membuat tuntutan seperti Dong Zhong untuk UEC. PINTA tidak pernah menuntut sistem peperiksaan asing diiktiraf sebagai laluan memintas kerangka pendidikan negara,” tegas beliau.
Inilah tegasnya, harga yang perlu dibayar oleh rakyat apabila dipimpin oleh pemimpin politik yang sanggup membuka pintu terlarang ini demi survival politik dan undi.
Ujar beliau, mereka mungkin menyangka ini sekadar kompromi kecil, tetapi hakikatnya mereka sedang menggadaikan asas pembinaan negara bangsa.
“IPTA bukan sekadar universiti awam. Ia simbol dasar nasional negara. Ia dibina menggunakan wang rakyat Malaysia untuk memperkukuhkan agenda nasional negara Malaysia. Maka asas kemasukannya mestilah berdiri atas sistem pendidikan nasional.
“Jika hari ini UEC diterima atas alasan program bahasa Cina, esok alasan lain pula akan muncul. Sedikit demi sedikit, negara akan kehilangan keberanian mempertahankan identiti pendidikan nasionalnya sendiri,” kata beliau lagi.
Dr Haim yang berpengalaman lama dalam dunia pendidikan turut berkomentar, Malaysia menuju ke arah negara yang mempunyai universiti nasional, tetapi tanpa roh nasional.
Ini ujarnya, bukan soal perkauman atau soal kebencian kepada mana-mana kaum dan bukan juga soal politik partisan, tetapi ini adalah soal kelangsungan nasional.
Tambah beliau lagi, negara yang gagal mempertahankan sistem pendidikan nasionalnya, pasti akan gagal mempertahankan identiti negaranya sendiri.
“Mana-mana pihak yang sengaja membuka ruang meruntuhkan asas pendidikan nasional demi kepentingan politik sempit. Sebenarnya mereka sedang melakukan pengkhianatan besar terhadap masa depan negara.
“Sejarah akan mengingati mereka bukan sebagai reformis pendidikan, tetapi sebagai pengkhianat pendidikan nasional negara. Negara amat memerlukan pemimpin politik berjiwa negarawan.
“Ayuh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa bersatu menyelamatkan sistem pendidikan nasional negara,” ujar beliau penuh semangat. – HARAKAHDAILY 16/5/2026











