
KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah Malaysia (UMMAH) mempersoalkan tindakan Kerajaan Madani yang disifatkan tunduk kepada tekanan dan desakan politik pihak tertentu susulan keputusan membenarkan lepasan UEC memasuki IPTA.
Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, tindakan KPT itu dilihat sebagai satu langkah bakal menjejaskan matlamat pendidikan negara kerana membentuk dua aliran kemasukan pelajar yang mempunyai latar belakang sistem pendidikan berbeza.
Beliau menegaskan, UEC adalah sistem peperiksaan dikendalikan pertubuhan pendidikan Cina secara swasta dan tidak mengiktiraf sistem peperiksaan awam dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Anehnya, bagaimana sekolah swasta Cina yang tidak mengiktiraf sistem arus perdana tiba-tiba mahu masuk ke pengajian tinggi yang melaksanakan dan menerima sistem arus perdana dengan mendesak KPM dan KPT mengiktiraf sijil mereka?
“Ini akan menjadikan aliran sistem pendidikan pengajian tinggi negara akan terbahagi kepada dua iaitu sistem arus perdana dan sistem swasta pendidikan cina,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mohd Zai turut menegaskan bahawa pengiktirafan tersebut bercanggah dengan asas dan dasar Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan 1996 serta Akta Bahasa Kebangsaan 1967.
“Mengiktirafnya adalah satu pengkhinatan kepada pancang-pancang asas negara, dasar pendidikan kebangsaan serta dasar bahasa kebangsaan yang mengakibatkan perpaduan pelbagai kaum dalam negara ini akan gagal dan sudah pun kelihatan gagal.
“Adakah mungkin pengiktirafan ini dibuat bagi melayani tuntutan ahli politik DAP yang sudah berjanji bagi menunaikan manifesto mereka kepada pengundi cina,” soal beliau lagi.
Beliau menambah, kewujudan sistem pendidikan swasta berkenaan secara berterusan akan menghalang dasar serta matlamat pendidikan negara daripada mencapai kesejahteraan kaum yang dihasratkan.
“Selagi mana sistem pendidikan swasta Cina ini wujud di negara ini, maka selama itulah dasar dan matlamat pendidikan negara akan gagal mencapai kesejahteraan kaum dinegara ini,” tegasnya.
Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk kemasukan ke Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) telah menjadi polemik berpanjangan dalam landskap politik dan pendidikan Malaysia.
UEC merupakan peperiksaan standard bagi pelajar di 60 sekolah menengah persendirian Cina di seluruh negara di mana sebelum ini, lepasan UEC tidak layak memohon ke IPTA dan hanya diterima masuk ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) atau universiti luar negara.
Walau bagaimanapun, baru-baru ini timbul laporan mengenai kelonggaran atau kebenaran khas diberikan oleh pihak kementerian untuk menerima sijil berkenaan bagi pengajian di peringkat IPTA.
Perkara ini telah mengundang reaksi pelbagai pihak, terutamanya pejuang bahasa dan aktivis pendidikan yang menganggap langkah tersebut mencabar kedaulatan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. – HARAKAHDAILY 16/5/2026











