Iqbal Razak calon DUN Bukit Pasir?

Susulan video tular menerusi TikTok kaitkan nama Iqbal Razak dengan pencalonan bagi kerusi DUN berkenaan.

Mohd Firdaus Jaffar
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Penentuan sama ada PAS akan meletakkan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir pada Pilihan Raya Umum Negeri Johor ke-16 masih tertakluk kepada keputusan PAS Pusat dan sehingga kini belum ada sebarang keputusan rasmi dimuktamadkan.

Ketua Penerangan PAS Johor, Mohd Firdaus Jaffar berkata, sama ada Penyelaras Pusat Aduan Rakyat DUN Bukit Pasir, Iqbal Razak akan dicalonkan atau tidak, adalah bergantung sepenuhnya kepada keputusan PAS Pusat mengenai penyertaan parti itu di DUN berkenaan.

- Advertisement -

“(Iqbal Razak) Menjadi calon atau tidak tertakluk kepada keputusan PAS Pusat sama ada untuk bertanding di DUN Bukit Pasir atau sebaliknya.

“Jika PAS bertanding sekalipun, calon akan dimuktamadkan oleh PAS Pusat selepas melalui proses saringan dan kelulusan Majlis Syura Ulama,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas video tular menerusi aplikasi [email protected] yang mengaitkan nama Iqbal Razak dengan pencalonan bagi kerusi DUN berkenaan.

Menurut Firdaus, sehingga kini kepimpinan negeri masih menunggu keputusan rasmi daripada PAS Pusat berhubung perkara itu.

“Belum ada satu keputusan rasmi daripada pusat. Kami juga masih menunggu keputusan tersebut,” ujarnya.

Sehubungan itu, Firdaus menegaskan bahawa sebarang keputusan mengenai calon dan penyertaan PAS di DUN Bukit Pasir hanya akan diputuskan oleh kepimpinan PAS Pusat selepas melalui proses saringan dan kelulusan Majlis Syura Ulama.

“Justeru, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara berkenaan sehingga pengumuman rasmi dibuat oleh parti,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2026

- Advertisement -