‘Beratur berjam-jam demi RM3,500, ini kejayaan ekonomi?’

Ribuan pencari kerja bukti tekanan ekonomi, bukan alasan kerajaan bermegah

Dr Mohd Yadzil Yaakub
- Advertisement -

AYER KEROH: Kehadiran ribuan pencari kerja yang beratur panjang bagi menghadiri sesi temu duga tidak sepatutnya dijadikan bahan propaganda untuk menggambarkan seolah-olah semua masalah ekonomi rakyat sudah selesai.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berpandangan, fenomena itu seharusnya menjadi peringatan kepada kerajaan.

- Advertisement -

Fenomena itu tegas beliau, menunjukkan rakyat sedang berusaha mendapatkan pekerjaan yang menawarkan pendapatan lebih baik bagi menampung kos kehidupan yang semakin meningkat.

Menurutnya, kerajaan yang matang akan melihat kehadiran ribuan pencari kerja sebagai maklum balas terhadap keadaan pasaran buruh.

Manakala terang beliau, kerajaan yang terlalu ghairah berpolitik pula akan menganggapnya sebagai peluang untuk bermegah.

“Kerajaan yang baik bukanlah kerajaan yang cepat berbangga dengan angka statistik, tetapi kerajaan yang sanggup mendengar denyut nadi rakyat.

“Apa yang rakyat mahu bukan sekadar peluang untuk beratur mencari kerja, tetapi peluang untuk hidup dengan lebih bermaruah dan sejahtera,” tegas beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian berikutan kenyataan seorang Exco Kerajaan Negeri yang menganggap kehadiran ribuan pencari kerja beratur panjang untuk sesi temuduga sebagai bukti Melaka sebuah ‘lubuk rezeki’.

Dalam nada sinikal, beliau menyifatkan logik itu seolah-olah membolehkan kesesakan di kaunter bantuan kebajikan dianggap sebagai tanda rakyat semakin sejahtera dan barisan panjang di klinik kerajaan pula sebagai bukti sistem kesihatan berada pada tahap terbaik.

“Begitulah anehnya logik yang cuba dijual kepada rakyat hari ini. Sudah tentu logik seperti ini kedengaran ganjil kepada rakyat yang setiap hari berdepan tekanan kos sara hidup,” tempelak beliau.

Sehubungan itu, Dr Mohd Yadzil menjelaskan, rakyat Melaka memerlukan pekerjaan yang berkualiti, gaji yang setimpal serta dasar ekonomi yang benar-benar mampu meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban menggesa kerajaan negeri supaya memberi tumpuan kepada persoalan lebih penting.

“Berapa ramai rakyat Melaka yang benar-benar menikmati pekerjaan berkualiti, bergaji baik dan mempunyai jaminan masa depan yang lebih terjamin?” soal beliau.

Tegas beliau, barisan panjang pencari kerja menunjukkan rakyat sedang bergelut mendapatkan peluang pekerjaan yang dapat menampung peningkatan kos kehidupan, bukannya kerana mereka hidup dalam keadaan selesa dalan keadaan ekonomi semasa.

Jelas beliau, jika ekonomi rakyat benar-benar berada dalam keadaan selesa, timbul persoalan mengapa ribuan orang sanggup beratur berjam-jam bagi merebut sekitar 300 hingga 500 jawatan yang ditawarkan.

Malah, beliau mempersoalkan mengapa jawatan dengan gaji sekitar RM3,500 sebulan mampu menarik kehadiran luar biasa sehingga mencetuskan kesesakan.

Pada masa sama, Dr Mohd Yadzil menegaskan, kerajaan negeri perlu berlaku jujur bahawa cabaran ekonomi semasa masih dirasai rakyat.

“Ketua Menteri sendiri mengakui peniaga kecil dan penjaja sedang berdepan peningkatan kos operasi sehingga kerajaan terpaksa menawarkan pelepasan sewa premis dan diskaun pembaharuan lesen bagi meringankan beban mereka.

“Kerajaan negeri boleh terus berbangga dengan kadar pengangguran sekitar dua peratus.

“Namun, menggunakan statistik tersebut untuk menafikan keresahan rakyat adalah satu pendekatan yang terlalu mudah dan tidak menggambarkan realiti sebenar di lapangan,” bidasnya.

Beliau turut membangkitkan beberapa persoalan, termasuk jumlah graduan yang bekerja di bawah tahap kelayakan dan kemampuan gaji minimum untuk menyara keluarga.

“Apakah individu yang mempunyai pekerjaan masih mampu menampung peningkatan kos kehidupan?

“Berapa ramai rakyat yang terpaksa melakukan dua atau tiga pekerjaan bagi menampung perbelanjaan bulanan?

“Berapa ramai pula anak Melaka yang terpaksa berhijrah keluar dari Melaka untuk mencari pekerjaan dengan gaji yang lebih bermaruah?” soalnya.

Dalam keadaan ekonomi semasa jelasnya, rakyat berdepan dengan pelbagai tekanan termasuk harga makanan di luar rumah terus meningkat.

“(Termasuk) Kos utiliti dan perkhidmatan semakin bertambah. Peniaga kecil pula berdepan kenaikan kos operasi dan bahan mentah.

“Malah kerajaan negeri sendiri sebelum ini mengumumkan pelbagai insentif bagi membantu peniaga yang terkesan dengan peningkatan kos menjalankan perniagaan.

“Jika keadaan ekonomi benar-benar begitu baik seperti yang cuba digambarkan, mengapa bantuan dan insentif sedemikian masih perlu diperkenalkan?” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2026

- Advertisement -