Gelaran Ayatollah, Mullah terhadap Presiden PAS tidak berasas

Wan Sukairi Wan Abdullah
- Advertisement -

MARANG: Gelaran seperti Ayatollah dan Mullah yang dilemparkan kepada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang disifatkan sebagai tidak berasas memandangkan setiap keputusan parti dibuat secara kolektif, bukannya berdasarkan pandangan individu semata-mata.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, dakwaan tersebut tidak menggambarkan realiti proses membuat keputusan dalam parti yang mengamalkan perbincangan serta pandangan bersama di peringkat jawatankuasa.

- Advertisement -

Menurutnya, sekiranya gelaran itu benar, segala keputusan parti sudah tentu boleh dibuat dengan mudah berdasarkan pertimbangan seorang individu sahaja.

“Namun perkara itu tidak berlaku kerana PAS mempunyai disiplin dan mekanisme tertentu dalam membuat keputusan.

“Setiap keputusan yang dibuat mengambil kira pandangan serta pendapat semua ahli jawatankuasa yang terlibat, bukannya pandangan peribadi seseorang yang kemudiannya dijadikan pendirian parti secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan pihak tertentu yang menggelarkan Ahli Parlimen Marang dengan istilah berkenaan dalam polemik politik kebelakangan ini.

Terdahulu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, menyifatkan tindakan Tuan Guru yang menggunakan kuasa veto mengumumkan pelantikan semula Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang tidak ubah seperti sistem Mullah.

Beliau berkata, sistem Mullah merujuk seseorang yang berada di luar kepimpinan rasmi boleh membatalkan keputusan yang sudah dipersetujui dalam organisasi.

Sehubungan itu, Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam menegasklan, penggunaan gelaran sedemikian tidak sepatutnya diberikan kerana ia boleh menimbulkan persepsi yang tidak tepat terhadap struktur kepimpinan dan proses membuat keputusan dalam parti.

“PAS sentiasa berpegang kepada prinsip syura dan perbincangan dalam menentukan setiap dasar serta pendirian yang diambil,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2026

- Advertisement -