Projek kediaman, komersial di Alor Limbat cecah RM170 juta

- Advertisement -

MARANG: Sebanyak 564 unit kediaman dan komersial akan dibangunkan menerusi syarikat pemaju perumahan kerajaan negeri, Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn Bhd (Koperat) dengan nilai keseluruhan pembangunan dianggarkan mencecah RM170 juta.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek di Taman Koperat Alur Limbat itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM120 juta, namun meningkat apabila mengambil kira kos infrastruktur dan kemudahan sokongan lain.

Menurut beliau, projek tersebut bukan sahaja menyediakan lebih banyak pilihan perumahan kepada rakyat, malah membuka peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman sendiri.

“Bagi rumah jenis A dan B sahaja, sebanyak 240 unit disediakan dan ini memberi peluang terutama kepada golongan B40 untuk memiliki rumah sendiri.

“Lokasi projek ini juga sangat strategik dan berpotensi menjadi kawasan tumpuan pada masa hadapan,” katanya selepas merasmikan Rumah Contoh Taman Koperat Alor Limbat dan Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Koperat, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Dato’ Ariffin Deraman; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terenganu, Ir Saiful Azmi Suhaili; dan Pengerusi Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu (KOPERAT), Zaharuddin Zahid.

Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri menghargai peranan Koperat yang telah beroperasi selama 30 tahun dalam membantu rakyat memiliki rumah sendiri.

Menurutnya yang juga ADUN Wakaf Mempelam, sepanjang tempoh itu, syarikat berkenaan berjaya merealisasikan impian lebih 3,000 keluarga untuk memiliki kediaman di pelbagai lokasi seluruh Terengganu.

“Saya mengambil peluang untuk mengucapkan syabas dan taniah kepada pihak korporat yang dalam tempoh 3 dekad ini.

“Sepanjang 30 tahun penubuhannya, Koperat telah membangunkan pelbagai projek perumahan di seluruh Terengganu, dari Kemaman hingga Besut,” katanya.

Sementara itu, Zaharuddin berkata, pembinaan fasa pertama projek tersebut dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Beliau berkata, pembangunan itu turut melibatkan penyediaan kemudahan infrastruktur termasuk sistem pembetungan berpusat (STP) sebelum keseluruhan projek dapat disiapkan secara berperingkat.

“Fasa pertama projek ini dijangka siap dalam masa dua tahun lagi. Pada masa sama, kita perlu menyediakan kemudahan STP dan beberapa komponen lain.

“Kita yakin keseluruhan pembangunan ini dapat disiapkan secara berperingkat sehingga tahun 2030,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2026

- Advertisement -